Tiga lelaki dicekup, aktiviti sabung ayam dikesan dalam ‘Ops Dadu’ di Penampang
- nabalunews
- May 26
- 1 min read

26 Mei 2025
PENAMPANG: Tindakan pantas polis berjaya membongkar aktiviti perjudian sabung ayam yang berlangsung di kawasan bebas, Kampung Sarapung Kolopis, Penampang dalam satu operasi khas yang dikenali sebagai “Ops Dadu”.
Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, operasi itu dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang melalui Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) sebagai langkah membanteras kegiatan perjudian yang melibatkan penderaan haiwan.
“Bertindak atas maklumat, pada Ahad jam lebih kurang 4.30 petang, sepasukan polis dari BSJ, IPD Penampang telah membuat satu serbuan sekumpulan individu yang dilihat sedang berkumpul disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian sabung ayam,” menurut kenyataan Polis Penampang.
Dalam operasi itu, tiga lelaki warga tempatan berusia antara 64 hingga 74 tahun berjaya diberkas, manakala beberapa individu lain sempat melarikan diri sebelum ditahan.
“Seramai tigalelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 64 hingga 74 tahun telah berjaya ditangkap dan selebihnya melarikan diri.”
“Pihak polis turut merampas sebanyak empat ekor ayam hidup, tiga unit sangkar ayam, satu unit gelanggang sabung ayam dan wang tunai sebanyak RM319.00.”
Kesemua tangkapan dan barangan rampasan telah dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika disabitkan kesalahan.
Comentarios