Tiga Lelaki Dipenjara atas Kes Kecurian Tong Gas dan Beras di Kota Marudu
- nabalunews
- 20 minutes ago
- 1 min read

11 Februari 2026
KOTA MARUDU: Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara terhadap tiga lelaki tempatan selepas mereka mengaku bersalah atas dua kes kecurian berasingan di sebuah kedai runcit pada Januari lalu.
Ketiga-tiga tertuduh, Masli bin Asang, 29, Mohd Azuan bin Galpun, 30, dan Mohd Arif bin Jamal, 30, didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Berdasarkan fakta kes, ketiga-tiga suspek didapati mencuri sebanyak 10 tong gas pada 14 Januari 2026, sebelum terlibat dalam satu lagi kejadian kecurian melibatkan lima kampit beras pada 28 Januari 2026. Polis menahan mereka dalam satu operasi pada 30 Januari lalu dan turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Axia, tujuh tong gas serta lima kampit beras yang dipercayai hasil kegiatan jenayah berkenaan.
Dalam prosiding semalam, Majistret A. Akhiruddin Acho menjatuhkan hukuman penjara selama setahun terhadap ketiga-tiga tertuduh bagi kesalahan mencuri tong gas. Sementara itu, Masli dan Mohd Azuan masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan mencuri beras. Mahkamah turut memerintahkan supaya hukuman bagi kedua-dua kesalahan itu dijalankan secara berasingan.
Siasatan polis turut mendapati ketiga-tiga tertuduh disyaki terlibat dalam aktiviti pemilikan dan penyalahgunaan dadah, selain kes berkaitan penggunaan wang palsu. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Inspektor Seanhilary Miting Pakoi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama yang diberikan dalam membantu siasatan dan menasihatkan masyarakat supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan kepada balai polis berhampiran.














