top of page

Tiga Lelaki Merusuh Ditahan

  • nabalunews
  • 4 days ago
  • 1 min read

6 Januari 2026


TAWAU: Polis berjaya menahan tiga lelaki selepas dilaporkan menyerang seorang pengawal keselamatan di sebuah premis mencuci kenderaan di Jalan Chong Thien Vun, di sini, November lalu.


Ketiga-tiga lelaki termasuk dua warga asing berusia 18 hingga 32 tahun itu dikatakan tidak berpuas hati kerana mangsa meminta kebenaran untuk mencuci sendiri kenderaannya.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan, ketiga-tiga suspek berjaya ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau, kira-kira jam 12 tengah hari, pada Isnin.


Katanya, berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berlaku pada 6 November lalu kira-kira jam 5.30 petang apabila mangsa berusia 19 tahun menghantar kereta untuk dicuci.


“Bagaimanapun, mangsa dikatakan meminta kebenaran mencuci sendiri kenderaannya sehingga menimbulkan salah faham.


“Seorang pekerja carwash dipercayai bertindak menumbuk mangsa di bahagian badan sebelum dua lagi rakan sekerjanya turut menyerang, menyebabkan mangsa mengalami kesakitan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek lelaki tempatan berusia 32 tahun mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau membabitkan pelbagai kesalahan.


Katanya, antara kesalahan yang pernah dilakukan ialah di bawah undang-undang berkaitan kesihatan awam dan penyalahgunaan dadah.


“Manakala dua lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.


“Semua suspek ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.


Sementara itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar menyelesaikan sebarang perselisihan secara berhemah.


Katanya, masyarakat juga digesa agar menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis demi keselamatan awam di daerah ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page