top of page

Tiga pegawai penguat kuasa disyaki terima rasuah RM120,000 lindungi penyeludupan rokok dan lepaskan barang penyeludupan, ditahan reman

  • nabalunews
  • Aug 11, 2024
  • 1 min read

11 Ogos 2024


KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan reman tiga pegawai penguat kuasa sebuah jabatan di negeri ini kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok dan melepaskan barang penyeludupan.


Perintah reman selama lima hari sehingga 16 Ogos ini terhadap ketiga-tiga suspek lelaki berusia 30 hingga 40-an itu dikeluarkan Majistret Aslianlydia Asneh selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pagi tadi.


Menurut sumber, kesemua suspek ditahan kira-kira jam 4 petang hingga 11 malam tadi dalam satu operasi yang dijalankan SPRM Sabah di Pekan Keningau.


“Tangkapan terbaharu yang melibatkan dua lagi pegawai penguat kuasa adalah susulan daripada tangkapan seorang pegawai penguat kuasa sebelum ini berkaitan kes yang sama iaitu disyaki meminta rasuah kira-kira RM120,000 bagi melindungi aktiviti penyeludupan rokok sekitar Keningau dan melepaskan lori serta barang penyeludupan yang telah ditahan oleh jabatan itu.


“Siasatan awal mendapati kesemua suspek yang direman hari ini dipercayai melakukan perbuatan tersebut baru-baru ini (Ogos 2024),” katanya.


Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page