Tiga sekolah menengah kawasan Kadamaian terima sumbangan kalkulator saintifik YBR atas usaha Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tiga sekolah menengah kawasan Kadamaian terima sumbangan kalkulator saintifik YBR atas usaha Ewon



8 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Tiga sekolah menengah di kawasan Kadamaian menerima sumbangan kalkulator saintifik daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) atas usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.


Sekolah-sekolah itu ialah SMK Narinang, SMK Tambulion dan SMK Pekan II menerima sejumlah 400 kalkulator untuk diagih-agihkan kepada pelajar sekolah golongan B40 di setiap sekolah itu.


Simbolik penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Ewon pada majlis ringkas di Pejabat Khidmat Adun Kadamaian, di sini, hari ini.


Wakil Pengetua SMK Pekan II Androw Celyron, merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas sumbangan sebanyak 100 buah kalkulator untuk kegunaan pelajar di sekolahnya.


“Ini sangat penting untuk murid-murid terutamanya dalam mata pelajaran Matematik. Kebanyakan murid tidak ada dana untuk membeli kalkulator dan dengan sumbangan YBR atas usaha Datuk Ewon, amat membantu murid-murid semasa kelas Matematik.


“Saya harap dengan adanya sumbangan ini dapat membantu mereka meningkatkan lagi penguasaan dalam mata pelajaran Matematik,” katanya.


Androw berkata, selain sumbangan kalkulator, sekolah itu turut menerima pelbagai sumbangan lain daripada Ewon.


Sementara itu, Pengetua SMK Narinang Soo Yong Huat turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Ewon atas sumbangan kalkulator untuk sekolah itu.


“Kami menerima sebanyak 150 buah kalkulator yang akan digunakan oleh para pelajar terutamanya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


“Ia memberikan manfaat besar kepada para pelajar khususnya calon SPM. Sebelum ini Datuk Ewon juga telah memberikan banyak sumbangan untuk peningkatan prestasi kokurikulum di SMK Narinang.


“Pada tahun lepas, beliau telah menyampaikan sumbangan melaui YBR khusus untuk melaksanakan Program Monotos iaitu kelas tambahan yang dilaksanakan bermula Julai hingga Januari.


“Dalam program ini, kami memberikan kelas tambahan bimbingan berfokus dan sumbangan RM20,000 yang diberikan itu kami gunakan untuk perbelanjaan makan dan minum tengahari kesemua pelajar yang mengikuti kelas tambahan.


“Selain itu, pada tahun lepas, SMK Narinang juga telah menerima sumbangan daripada Datuk Ewon, khususnya untuk menyokong peningkatan prestasi, kurikulum dan sahsiah murid. Terima kasih atas usaha berterusan menyumbang sekolah di kawasan Kadamaian,” katanya.


Pengetua SMK Tambulion Nasdin Pumpunga berkata, sumbangan ini amat bermakna kepada para pelajar sekolah.


“Sumbangan ini amat bermakna kepada para pelajar khususnya golongan B40 dan miskin tegar untuk memudahkan mereka dalam pembelajaran Matematik.


“Sebelum ini, kami juga menerima sumbangan iaitu penyediaan modul untuk pelajar Tingkatan 5 yang kini menduduki peperiksaan SPM. Selain itu kami juga bakal menerima sebuah van sekolah koperasi atas usaha Datuk Ewon.


“Bagi pihak sekolah dan ibu bapa, saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas usaha inisiatif, kerja kuat Datuk Ewon membantu semua sekolah di kawasan Kadamaian,” katanya.

bottom of page