Tiga Serbuan BSJND Sandakan Tahan Lima Individu, Dua Dalam Posisi Milik Dadah
- nabalunews
- 47 minutes ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
30 Mac 2026
SANDAKAN: Serbuan bersepadu yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dalam tempoh tujuh jam berjaya menahan lima individu yang disyakit terlibat dalam penyalahgunaan dadah, dengan dua daripadanya ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu.
Dalam operasi yang digerakkan pada 29 Mac 2026, bermula jam 4.00 petang hingga 11.00 malam, pasukan BSJND menjalankan Ops Tapis di tiga lokasi berasingan sekitar Sandakan. Kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan, masing-masing dikesan positif methamphetamine dan amphetamine melalui ujian saringan air kencing.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Polis (ACP) George Abd Rakman berkata, operasi ini dilaksanakan selaras tekad pihaknya untuk membenteras jenayah dadah secara menyeluruh di daerah ini.

"Hasil ujian saringan awal mendapati kesemua individu yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan media.
Dalam serbuan pertama di tepi jalan Dewan Sibuga, Batu 8, seorang lelaki ditahan kira-kira jam 4.00 petang kerana disyaki memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan. Suspek kemudiannya dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk ujian air kencing yang disahkan positif.
Pada hari yang sama, serbuan kedua di sebuah bilik di Bandar Ramai-Ramai pula menyaksikan seorang perempuan ditahan atas kesalahan sama. Ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine.
Serbuan ketiga di sebuah rumah flat tidak bernombor membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang perempuan di bilik berasingan apabila didapati memiliki dadah jenis syabu. Ujian air kencing turut mengesahkan kedua-duanya positif dadah.
Hasilnya, seorang suspek perempuan ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama, manakala seorang suspek lelaki ditahan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dua suspek lain iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Kesemua suspek direman di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan lanjut.











