top of page

Tiga Suspek Kes Jenayah Termasuk Guna Wang Palsu Ditahan

  • nabalunews
  • 17 minutes ago
  • 2 min read

31 Januari 2026


KOTA MARUDU: Tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam beberapa kes kecurian serta penggunaan wang palsu berjaya ditahan hasil serbuan yang dijalankan, semalam.


Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, kes pertama dilaporkan pada 14 Januari lalu berhubung kecurian 10 tong gas di sebuah kedai runcit di Jalan Goshen, di sini.


Katanya, semua tong gas berkenaan yang diletakkan di kaki lima premis itu dipercayai dilarikan oleh kumpulan suspek berkenaan.

“Kes kedua dilaporkan berlaku pada 28 Januari lalu berkaitan insiden seorang penjaga kaunter stesen minyak yang mendakwa menerima wang palsu RM100 daripada seorang pemandu kenderaan Perodua Axia untuk pengisian minyak petrol.


“Manakala kes ketiga melibatkan kumpulan sama pula melibatkan kejadian kes kecurian lima kampit beras di sebuah kedai runcit di Jalan Goshen.


“Suspek yang menggunakan kenderaan Perodua Axia itu dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) premis telah melarikan barangan tersebut tanpa membuat sebarang pembayaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, rakaman berkenaan kemudiannya tular di media sosial dan berdasarkan laporan polis mangsa, siasatan dijalankan untuk memburu suspek terlibat.


“Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 30 tahun.


“Serbuan dijalankan di tiga lokasi berasingan iaitu di Kampung Marudu Laut, Kampung Ranau dan Kampung Radu.


“Hasil serbuan dan pandu arah suspek, pihak polis berjaya merampas semula tujuh tong gas serta lima kampit beras yang dipercayai hasil kegiatan curi.


“Selain itu, sebuah kenderaan Perodua Axia berwarna gelap yang digunakan semasa kejadian turut dirampas untuk siasatan lanjut,”’katanya.


Sementara itu, Simiun berkata, semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod kesalahan lampau dan salah seorang juga merupakan orang dikehendaki bagi kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada tahun 2024.


“Dalam serbuan sama, polis turut menemui satu tiub berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dalam simpanan salah seorang suspek.


“Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif terhadap amphetamin dan methamphetamin,” katanya.


Sehubungan itu, Simiun berkata, semua suspek ditahan reman dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 498B akta sama.


“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


Sehubungan itu, Simiun merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama awam yang membantu dalam usaha membanteras dan menangani kegiatan jenayah di daerah ini.


“Orang ramai dinasihatkan supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kejadian jenayah kepada pihak polis bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page