Tiga warga asing antara empat dihukum penjara kes dadah di Semporna
- nabalunews
- Mar 6
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
6 Mac 2026
SEMPORNA: Mahkamah Majistret Semporna pada hari ini menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap empat individu yang didapati bersalah memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine dalam beberapa kes berasingan di daerah ini. Hukuman tersebut dijatuhkan selepas pertuduhan dibuktikan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.
Dalam kes pertama, tertuduh Mohammed Ridwan Hud dijatuhi denda RM4,100 atau 14 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. Beliau didapati memiliki dadah seberat 2.42 gram di kawasan Perumahan Staf S1 Pinang Palm Oil Mill pada 10 November 2025, kira-kira jam 11.00 malam.
Tiga lagi tertuduh dijatuhi hukuman penjara, dengan dua daripadanya akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman. Harry Balorio, 30 tahun, menerima hukuman 8 bulan penjara selepas didapati memiliki 0.08 gram methamphetamine di tepi Kampung Batu pada 6 Januari 2026.
Sementara itu, tertuduh Muhaimin Ibnu Hashim, 49 tahun, dijatuhi hukuman 9 bulan penjara atas kesalahan memiliki 0.16 gram dadah di tepi jalan Kampung Batu pada 18 Disember 2025.
Kes keempat melibatkan Subirman Milert, 44 tahun, yang dijatuhi hukuman 8 bulan penjara bermula dari tarikh tangkapan selepas didapati memiliki 0.17 gram methamphetamine di hadapan Dewan Serbaguna IPD Semporna pada 15 Januari 2026.
Kesemua prosiding dikendalikan oleh Majistret Yang Arif Don Stiwin Malanjum, manakala pendakwaan dilaksanakan oleh Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah. Kesemua tertuduh tidak diwakili oleh peguam bela.
Mengulas mengenai perkembangan ini, Ketua Polis Daerah Semporna menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dan akan terus mempergiatkan usaha membanteras penyalahgunaan serta pengedaran dadah di daerah ini. Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menjauhi dadah kerana kesannya bukan sahaja merosakkan masa depan individu, malah memberi kesan buruk kepada keluarga dan masyarakat.















Comments