Timbalan Menteri MOSTI adakan kunjungan hormat terhadap TYT Sabah
- Wartawan Nabalu News
- Feb 17, 2023
- 2 min read

17 Februari 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) Datuk Arthur Kurup telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin, pada hari ini.
Arthur yang mengetuai delegasi kementerian MOSTI membentangkan peranan dan pencapaian Kementerian serta agensi yang telah dilaksanakan di negeri Sabah.
Dalam pertemuan yang berlangsung selama satu jam, Yang di-Pertua Negeri Sabah turut diberikan penerangan yang menyeluruh berkenaan jalinan kerjasama di antara MOSTI dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah (KSTI) serta bantuan dan perkhidmatan yang telah diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah.
Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan merupakan initipati yang penting bagi memastikan dasar Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di peringkat persekutuan dapat diterjemahkan dengan baik ke peringkat negeri khususnya di akar umbi.
"Pada tahun ini MOSTI merancang beberapa program khususnya untuk negeri Sabah antaranya meneruskan program-program yang berimpak tinggi yang telah dilaksanakan pada tahun lepas.
"Antara program yang akan diteruskan termasuklah program Reskilling dan Upscalling for Deep Tech and Future Skills yang telah mendapat sambutan yang luar biasa disamping mencatatkan kadar pengambilan kerja sebanyak 100 peratus di negeri Sabah.
"Selain itu, bagi menarik minat anak-anak Sabah terhadap bidang STI, MOSTI juga berhasrat untuk menganjurkan Kembara Sains Borneo yang akan menjelajah ke seluruh negeri Sabah," kata Arthur.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kembara Sains Borneo ini akan turut menjelajah ke kawasan pedalaman bagi memastikan tiada yang terpinggir dalam mencetuskan minat terhadap STI.
Arthur turut menyatakan hasrat Kementerian untuk meningkat lagi usaha-usaha untuk membantu Inovasi Sosial khususnya bagi menyelesaikan permasalahan di peringkat akar umbi.
“Kita akan melihat kepada inovasi-inovasi di peringkat akar umbi dan mencari kaedah menyempurnakan lagi teknologi tersebut sebagai salah satu solusi kepada permasalahan di akar umbi.” tambah beliau.
Hadir sama di sesi kunjungan hormat Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains); Puan Ruziah Shafei; Setiausaha Bahagian Pembudayaan Sains, Teknologi & Inovasi, Encik Nik Kamaruzaman Bin Nik Husin; Ketua Pengarah MYSA, Haji Azlikamil bin Napiah; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia, Puan Sharmila binti Mohamed Salleh dan Puan Mismah Jimbun, Pengarah Pusat Sains Negara.
Comments