top of page

Timor-Leste Hasrat Hantar 300 Pelajar Ke Malaysia

  • nabalunews
  • Aug 30, 2024
  • 1 min read

30 Ogos 2024


JAKARTA: Timor-Leste merancang untuk menghantar 300 pelajar ke Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang untuk menyambung pendidikan di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, dengan sokongan daripada Education Malaysia Global Services (EMGS).


Ketua Pegawai Eksekutif EMGS Novie Tajuddin, berkata sebagai permulaan 31 pelajar tajaan Dana Pembangunan Modal Insan Timor-Leste (HCDF) akan memulakan pengajian sarjana dan pascasiswazah pada November ini.


"Universiti Teknikal MARA (UniKL) pula mengumumkan akan menganugerahkan 50 biasiswa kepada pelajar dari Timor-Leste untuk belajar di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama.


Pada Khamis, EMGS dan HCDF menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memudahkan proses kemasukan pelajar berkenaan.


Acara pemeteraian MoU disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dalam lawatan rasmi ke Timor-Leste dari 28 hingga 30 Ogos.


Perjanjian itu menggariskan kerjasama dalam mengurus dan menyokong penerima biasiswa dari Timor-Leste, termasuk permohonan visa, persediaan sebelum berlepas, dan penempatan universiti.


"MoU ini bakal meningkatkan lagi peluang institusi pengajian tinggi Malaysia untuk menerima pelajar dari Timor-Leste sekali gus menambah bilangan pelajar antarabangsa di Malaysia,” katanya.


Novie berkata pihaknya melancarkan Persatuan Alumni Malaysia yang pertama di Timor-Leste.


Kerajaan melalui EMGS, menyediakan pembiayaan awal US$2,000 untuk persatuan alumni, yang berperanan mempromosikan pendidikan tinggi Malaysia kepada masyarakat setempat, tambahnya.


Pada acara itu, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Kebangsaan Timor-Leste turut menandatangani MoU untuk mengukuhkan kerjasama, bertujuan meningkatkan aktiviti akademik, penyelidikan dan latihan antara kedua-dua institusi.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page