Tindakan bentang tilam di bahagian penumpang kenderaan undang risiko keselamatan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tindakan bentang tilam di bahagian penumpang kenderaan undang risiko keselamatan


16 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan bahawa tindakan membentangkan tilam di bahagian penumpang belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) semasa bergerak adalah dilarang dan boleh membawa risiko keselamatan.


Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagos Taha, mengingatkan bahawa perlakuan ini sangat membahayakan, terutama bagi kanak-kanak.


"Semua pemandu dan penumpang dewasa hendaklah duduk di kerusi ketika kenderaan bergerak.


"Tambahan pula, bermula Januari 2009, peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang telah dikuatkuasakan melalui Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan 2008)," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.


Jelas beliau, bagi kanak-kanak yang beratnya kurang daripada 36 kilogram, ketinggian kurang daripada 136 sentimeter, atau berumur kurang dari 12 tahun, mereka harus menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak.


Isu ini menjadi tumpuan setelah gambar yang menunjukkan kanak-kanak baring di atas tilam di bahagian belakang MPV menjadi viral.


Ini menimbulkan kebimbangan tentang tahap kesedaran keselamatan pengguna jalan raya.


Hezeri Samsuri, pengguna media sosial, mengulas bahawa ibu bapa boleh menghadapi tindakan undang-undang termasuk saman dan penjara jika kelalaian mereka menyebabkan kemalangan yang mengakibatkan kematian.



bottom of page