Tindakan Ewon Mesej Tegas UPKO Pertahan Hak Sabah
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

24 November 2025
KOTA KINABALU: Tindakan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan serta membawa UPKO keluar daripada Pakatan Harapan adalah mesej jelas bahawa hak Sabah tidak boleh dipermainkan atau dirunding sewenang-wenangnya.
Pemimpin muda parti itu, Achmad Noorasyrul Noortaip berkata, tindakan berprinsip tersebut menunjukkan kesungguhan UPKO dalam memperjuangkan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus mendesak perhatian lebih serius daripada Kerajaan Persekutuan.
“Keberanian Datuk Ewon sehingga memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi penerangan berhubung tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah sebanyak dua kali di Parlimen adalah sejarah.
“Sebelum ini, isu ini tidak pernah dibahaskan secara terbuka walaupun ramai Ahli Parlimen menyuarakannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, tindakan itu juga membawa mesej jelas bahawa pemimpin Sabah perlu bersatu dan parti-parti tempatan harus bebas dari tekanan luar bagi memastikan keputusan berkaitan negeri dibuat dengan autonomi penuh.
Tambah beliau, Sabah wajar mencontohi Sarawak yang teguh memperjuangkan pendirian dalam menuntut hak mereka.
Achmad turut menegaskan perjuangan menuntut hak Sabah masih jauh, justeru katanya, agenda Sabah First perlu menjadi suara bersama rakyat negeri ini tanpa mengira fahaman politik.
“Sekiranya parti-parti lain mahu menggunakan Sabah First, itu sangat baik kerana perjuangan ini merentasi sempadan politik.
“Ini perjuangan holistik rakyat Sabah untuk mempertahankan hak kita yang termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat supaya terus mengangkat semangat Sabah First agar wakil rakyat yang dipilih kelak dapat bersatu memperjuangkan kepentingan negeri sebagai keutamaan utama.


















Comments