Tindakan Pantas Maritim Malaysia Selamatkan Remaja Sakit Di Pulau Banggi
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

3 Julai 2025
KUDAT: Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan nyawa seorang remaja perempuan yang dilaporkan mengalami sesak nafas di Pulau Banggi, semalam.
Remaja berusia 14 tahun terbabit yang menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Karakit perlu segera dihantar ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut berikutan keadaannya yang semakin kritikal.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, misi bantuan pemindahan perubatan atau Medical Evacuation (MEDEVAC) itu dilaksanakan sejurus pihaknya menerima panggilan daripada pegawai perubatan klinik tersebut.

“Bot CENDERAWASIH 10 terus digerakkan segera untuk membawa pesakit dari Jeti Karakit ke Jeti Marina Kudat bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Pesakit turut diiringi bapanya dan seorang kakitangan kesihatan sepanjang perjalanan bagi memantau keadaan remaja berkenaan,” katanya lagi.
Menurutnya, bot berkenaan berjaya tiba di Jeti Marina kira-kira jam 11 malam dan pesakit terus dipindahkan ke Ambulans untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Kudat.

Sehubungan itu, Hasbullah berkata, pihak Maritim Malaysia akan terus komited dalam membantu komuniti maritim yang berada di kawasan kepulauan yang sukar diakses dengan pengangkutan darat.
“Kami sentiasa bersedia memberikan bantuan terutama dalam situasi kecemasan melibatkan nyawa. Ini adalah sebahagian daripada peranan kemanusiaan Maritim Malaysia,” jelas beliau lagi.

“Orang ramai yang menyaksikan sebarang kejadian kecemasan atau insiden di laut
disarankan segera menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-
611858 atau terus ke talian kecemasan 999,” katanya.
Comentarios