TINDAKAN PENGUATKUASAAN TERHADAP KENDERAAN YANG DILETAK DI ATAS JALAN DAN TEMPAT-TEMPAT AWAM
- nabalunews
- Jun 4, 2025
- 1 min read

4 Jun 2025
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di jalan dan tempat-tempat awam sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
DBKK dalam kenyataannya menegaskan, pihaknya sering menerima aduan ramai berkaitan kesesakan lalu lintas khususnya yang berlaku di taman perumahan.
Katanya, ia akibat tindakan segelintir pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di jalan dan tempat-tempat awam.

“Jabatan Penguatkuasaan, DBKK akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan-kenderaan ini mengikut Undang-undang Kecil (UUK) Jalan-jalan dan Tempat Awam 1966.
“Ia akan memperuntukkan kompaun sehingga RM500 kepada pemilik kenderaan, sekiranya didapati melakukan kesalahan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, kenderaan perlu diletakkan di halaman rumah dan bukan di tempat awam atau bahu jalan di sekitar kawasan perumahan.

“Ia kerana tindakan itu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan, selain menyukarkan keadaan sekiranya berlaku sebarang kejadian kecemasan seperti kebakaran dan sebagainya.
“Tindakan penguatkuasaan ini juga bertujuan untuk membantu menjaga imej dan keindahan Bandaraya Kota Kinabalu agar kekal teratur, kemas dan selamat.

“Walau bagaimanapun, DBKK akan sentiasa berusaha untuk mendidik dan memberi peringatan secara berterusan kepada semua penduduk di kawasan perumahan yang terlibat.

“Peringatan ini telah disampaikan kepada masyarakat melalui pelbagai saluran komunikasi, termasuk media sosial bagi memastikan tiada kekeliruan berlaku dan semua pihak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya,

Menurutnya, sebarang pertanyaan lanjut atau aduan, hubungi Jabatan Penguatkuasaan, DBKK di talian 088-521800.


















Comments