top of page

Tindakan Provokatif Bakar Karikatur PM Cemar Imej IPT – MPPK

  • nabalunews
  • Jun 24, 2025
  • 1 min read

24 Jun 2025


KOTA KINABALU: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyifatkan tindakan sekumpulan mahasiswa membakar karikatur menyerupai wajah Perdana Menteri sebagai mencemar imej institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai medan ilmu dan intelektualisme.


MPPK dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan bersifat provokatif dan berlebihan itu yang jelas bercanggah dengan nilai dan adab seorang mahasiswa.


“Ia bukan sahaja mencerminkan ketandusan pemikiran rasional, malah berisiko mengganggu ketenteraman awam serta menghakis nilai kesarjanaan yang sewajarnya dijunjung tinggi oleh warga universiti,” katanya.


Menurutnya, mahasiswa yang dididik dalam nilai kesantunan dan intelektualisme seharusnya mampu berbeza pandangan secara beradab, dan bukan diterjamah melalui tindakan ekstrem, biadab atau menghina mana-mana pihak.


“MPPK menghormati prinsip kebebasan bersuara yang diamalkan di kampus dan mengiktiraf peranan mahasiswa sebagai suara intelektual yang bebas untuk menyuarakan pandangan.


“Kebebasan ini merupakan salah satu tunjang penting dalam membina ekosistem demokrasi yang matang dan beradab di IPT,” tambah kenyataan itu.


Dalam pada itu, MPPK turut memuji dan menghargai tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak universiti untuk tidak mengambil tindakan keras sehingga menamatkan pengajian mahasiswa yang terlibat.


“Pendekatan penuh ihsan ini jelas mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memastikan tiada anak muda yang tercicir daripada akses kepada pendidikan hanya kerana kekhilafan yang dilakukan supaya mereka dapat melakar kecemerlangan pada masa hadapan.


“MPPK kekal komited untuk memelihara keharmonian dan ketenteraman kampus sebagai ruang intelektual yang aman, sejahtera dan kondusif untuk pembangunan ilmu, sahsiah serta kepimpinan mahasiswa,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page