top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tindakan tempatkan anggota polis bermasalah ke Sabah kurang tepat, kurang bijaksana - Zaki


2 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Keputusan menempatkan sembilan anggota polis ke Sabah dan Sarawak yang sebelum ini disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor berkaitan pemilikan dadah baru-baru ini dianggap kurang bijak dan kurang tepat.


Menurut Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto, pendekatan seumpama itu tidak sepatutnya menjadi amalan kerana ia tidak lebih daripada 'memindahkan' masalah ke negeri lain semata-mata mahu 'membersihkan' kontinjen asal mereka.


"Mereka sepatutnya digantung kerja atau diberikan tugas 'tidak aktif' dalam tempoh siasatan dan bukannya ditempatkan ke Sabah dan Sarawak.


"Ini kerana, Sabah dan Sarawak bukanlah 'tong sampah' yang terpaksa menerima anggota yang bermasalah untuk berkhidmat di kedua-dua negeri tersebut," katanya.


Zaki berkata demikian sebagai mengulas kenyataan media Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi mengenai perkara tersebut.


"Kita tidak berniat mencampuri urusan dalaman yang menjadi amalan PDRM tetapi kita mahu pendekatan yang berbeza dibuat kerana memindahkan mereka ke Sabah dan Sarawak tidak akan menyelesaikan masalah," kata Zaki yang bekas anggota polis.


Difahamkan anggota yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) tersebut ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, pada Jumaat.


Kesemua anggota berpangkat konstabel hingga sub inspektor itu disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan selepas pihaknya menerima laporan daripada pengadu pada 26 Julai lalu.

Comentarios


bottom of page