top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tindakan undang-undang dikenakan kepada peniaga jika jual gula secara bersyarat


28 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


JOHOR BAHRU: Peniaga yang meletakkan syarat mewajibkan pembelian gula putih jernih terlebih dahulu, jika mahu membeli gula pasir kasar, akan berdepan tindakan undang-undang daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).


Pemangku Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali berkata syarat itu tidak boleh diletakkan kerana ia melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961, yang mengharamkan peniaga mengenakan syarat tanpa kebenaran pengawal bekalan.


"Syarat itu tidak boleh diletakkan dan kalau ada, sila laporkan kepada kita kerana di bawah perintah bekalan itu, peniaga tidak boleh meletakkan syarat sedemikian dan kita akan ambil tindakan bersesuaian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan Komuniti di Johor Bahru, kelmarin.


Beliau berkata isu gula memerlukan solusi jangka panjang yang melibatkan beberapa kementerian seperti Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).


"Baru-baru ini pun saya mempengerusikan beberapa mesyuarat untuk mencari solusi jangka panjang. Kita juga akan pastikan pengilang yang bertanggungjawab untuk membekalkan gula rakyat bertapis putih sebanyak 42,000 metrik tan sebulan, itu yang mereka perlu tunaikan begitu juga pemborong kita," katanya.


Dalam perkembangan lain, Armizan berkata Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Syarikat 2016, akan dibentangkan Oktober depan bagi memperkenalkan peruntukan baru untuk membantu syarikat yang mengalami masalah kewangan secara menyeluruh, bukan hanya ketika berlaku pandemik.


Beliau berkata sebanyak 13 sesi libat urus telah dijalankan oleh KPDN dan draf pindaan tersebut telah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara.


"Pindaan bertujuan memperkukuh Mekanisme Penyelamat Korporat (CRM), membantu usahawan yang terkesan dengan masalah kewangan. Selain itu, pindaan itu juga selari dengan piawaian antarabangsa untuk mengukuhkan pelaporan hak milik bermanfaat," katanya.


Tambah beliau, perkara itu secara tidak langsung memudahkan siasatan pihak berkuasa terhadap sebarang salah laku dalam kalangan syarikat serta membolehkan syarikat tempatan mematuhi amalan tadbir urus baik.

Comments


bottom of page