Tinju memupuk disiplin serta menjauhkan diri daripada gejala negatif - Robert

29 October 2024
KENINGAU: Penglibatan golongan muda dalam sukan tinju adalah langkah positif dalam menghadapi dunia yang penuh dengan cabaran pada masa ini.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, sukan tinju membantu golongan muda mengalihkan tenaga dan bakat ke arah yang lebih baik, memupuk disiplin diri serta menjauhkan mereka daripada gejala negatif.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata demikian semasa berucap merasmikan Kejohanan Garagas Fighting Championship 3.0 (Keningau Open Boxing) anjuran Persatuan Tinju Daerah Keningau dan Garagas Boxing Club yang berlangsung di Ficus Hall Taman Bandukan Riverside Resort dekat sini pada Sabtu.
Menyentuh kejohanan ini Robert berkata, ia bukan sahaja menjadi platform penting untuk mempromosikan sukan tinju tetapi juga menyediakan ruang untuk generasi muda melibatkan diri dalam aktiviti sihat yang bermanfaat.
"Saya percaya kejohanan ini memberikan peluang kepada para belia untuk membentuk jati diri yang kuat dan menjadi inspirasi kepada rakan sebaya" kata Robert.
Pada masa sama beliau berbangga kerana kejohanan ini telah menarik penyertaan peserta dari luar daerah dan juga atlet dari negara Brunei Darussalam.
Ini katanya, membuktikan bahawa sukan tinju adalah adalah penghubung yang baik merentasi sempadan.
Robert juga berharap agar lebih anak muda akan tertarik untuk menyertai sukan tinju dan menyumbang kepada kemajuan sukan di negeri ini.
Menurut beliau, kejohanan ini adalah platform penting untuk melahirkan dan mencungkil bakat baharu dalam sukan tinju di Sabah.
"Kita memerlukan atlet yang bukan sahaja berbakat tetapi juga berdisiplin kerana disiplin adalah kunci kepada kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.
"Dengan latihan dan pendedahan yang betul, kita dapat menghasilkan atlet yang berprestasi tinggi dan mampu mengharumkan nama negara dalam sukan tinju" jelasnya.
Pemenang dalam perlawanan semi pro rebut piala juara kejohanan itu terdiri daripada Jairy Abdullah juara pertarungan pertama, Jass Mizal juara pertarungan kedua, Dzareez Redza juara pertarungan ketiga, Dann Derron juara pertarungan keempat, Erron Liaw juara pertarungan kelima dan Muinuddin Justinus juara pertarungan keenam.
Comentários