top of page

Tipu Pelaburan Tidak Wujud: Polis Dedah Taktik ‘Komisen Cari Orang’ Sebagai Ciri Skim Haram

  • nabalunews
  • May 21
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


21 Mei 2026


KOTA BELUD: Orang ramai diminta tidak terpedaya dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan besar dalam tempoh singkat, kerana ia adalah penipuan semata-mata.


Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud dalam hantaran media sosial memberi amaran bahawa taktik “kaya sekelip mata” sebenarnya membawa risiko kerugian besar dan tindakan undang-undang terhadap mangsa yang terlibat.


Menurut pihak polis, penipu akan menggunakan janji pulangan luar biasa seperti RM2,000 menjadi RM5,000 dalam masa sehari bagi menarik mangsa, sebelum melarikan wang tersebut.


Dalam contoh yang dikongsikan, seorang individu dikenali sebagai Ah Meng cuba meyakinkan Rajoo untuk melabur dalam skim tidak berdaftar bernama “SINTEX” dengan pulangan dalam masa 24 jam. Rajoo kemudian dirancang untuk membawa rakan lain, Abu, dengan Ah Meng menawarkan komisen jika berjaya merekrut orang baru. Polis menegaskan taktik ‘cari komisen’ ini adalah ciri utama skim piramid yang menyalahi undang-undang.


Akibat mempercayai janji palsu, mangsa berdepan risiko wang lesap, akaun dibekukan, dikenakan denda tinggi atau penjara kerana disyaki membantu penipuan, malah turut merosakkan hidup orang lain yang turut terlibat. Oleh itu, orang ramai dinasihat menyemak latar belakang syarikat pelaburan melalui laman web rasmi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (www.sc.com.my) bagi memastikan ia berdaftar dan diluluskan.


Sebarang syak wasangka atau menjadi mangsa penipuan hendaklah segera melapor kepada NSRC di talian 997 atau membuat semakan melalui portal SemakMule di https://semakmule.rmp.gov.my.


Pihak polis mengingatkan bahawa tiada pelaburan sah yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa singkat. “Orang bijak semak dahulu, orang tamak percaya membuta tuli,” kata kenyataan tersebut.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page