TM SEDIA INTERNET DI 12 PUSAT KUARANTIN COVID-19 DI SABAH
- nabalunews
- Nov 6, 2020
- 2 min read

6 Nov 2020
TAWAU: Telekom Malaysia Berhad (TM) Sabah membantu kerajaan negeri menyediakan kemudahan internet berkelajuan tinggi di 12 pusat kuarantin COVID-19 di Sabah.
Pengarah Wilayah TM Sabah Datuk Mohd Sainal Mohd Amin berkata kesemua pusat kuarantin terlibat menerima perkhidmatan internet berkelajuan antara 100 hingga 800Mbps.
"Ia sebahagian daripada sumbangan TM dalam membantu para barisan hadapan, mereka yang sedang dirawat atau menjalani proses kuarantin, agar segala urusan dan kerja menjadi lebih mudah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program misi bantuan prihatin TM Sabah yang disempurnakan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy di sini, hari ini.
Pada program itu, Mohd Sainal menyerahkan sumbangan Kelab TM dan Badan Kebajikan Islam Telekom (BAKIT) bernilai RM20,000 kepada Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan badan bukan kerajaan (NGO) Care4 Tawau serta Care4 Semporna.
Mengulas lanjut, Mohd Sainal berkata antara pusat kuarantin yang dilengkapi perkhidmatan itu termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria di Semporna yang dipasang internet berkelajuan 800Mbps.
"Kita juga memasang perkhidmatan internet di Kompleks Sukan Tawau, Dewan Arena Tawau, Kampus Intan Tuaran, PPR Taman Sri Sepagaya di Lahad Datu, Dewan Kompleks Sukan Sibuga, Dewan Masyarakat Keningau dan Politeknik Kota Kinabalu," katanya sambil menambah, pihaknya juga berusaha menyediakan perkhidmatan sama di Kompleks Sukan Ranau.
Sementara itu, katanya, TM Sabah melalui Kelab TM dan BAKIT berjaya mengumpul RM160,000 daripada kakitangan TM di Semenanjung untuk menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf serta petugas barisan hadapan di Sabah.
"Sebelum ini fasa pertama kita menyumbang RM100,000 dan kini kita menyumbang RM60,000," katanya menjelaskan sumbangan fasa kedua akan disalurkan di Ranau, Kota Kinabalu, Sandakan, Kudat serta Tawau. - Bernama


















Comments