Tolak tawaran Mahiaddin demi masa depan pendidikanTolak tawaran Mahiaddin demi masa depan pendidikan
top of page
  • nabalunews

Tolak tawaran Mahiaddin demi masa depan pendidikan


14 Ogos 2021


Saya, YB Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Simpang Renggam yakin bahawa perutusan khas Tan Sri Mahiaddin Md Yassin hari ini adalah pengakuan terbuka bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Ini mewajibkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dilaksana, di mana beliau hendaklah meletakkan jawatan.


Tan Sri Mahiaddin Md Yassin telah mengaku kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan Pembangkang dan menawarkan rasuah secara terbuka dalam siaran televisyen langsung di hadapan seluruh rakyat Malaysia. Setelah diberi peluang oleh Sri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong lebih setahun, Tan Sri Mahiaddin tetap gagal mendapat sokongan majoriti sehingga terpaksa menawar sogokan secara terbuka.


Apa yang dilakukan oleh Tan Sri Mahiaddin itu jelas merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 21 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang berbunyi:


"Mana-mana orang yang menawarkan kepada seseorang pegawai mana mana badan awam..., apa-apa suapan sebagai suatu dorongan atau upah supaya


(a) pegawai itu mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana mesyuarat badan awam itu bagi menyokong atau menentang apa-apa langkah, ketetapan atau soal yang dikemukakan kepada badan awam itu;


melakukan suatu kesalahan…"


Seksyen 3 Akta 694 secara jelas telah mendefinisikan Pegawai Badan Awam' antara. lain sebagai ahli Parlimen dan ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri.


Lebih dari itu, apabila Tan Sri Mahiaddin berkata "tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat," beliau dengan jelas telah membelakangi fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.


Oleh yang demikian, sebagai Ahli parlimen Bebas di bawah Pakatan Harapan, saya mengambil pendirian bersama dengan Pakatan Harapan untuk menolak keras segala tawaran Tan Sri Mahiaddin kerana tindakan beliau ini bermakna menghalalkan politik wang untuk kekal berkuasa. Anehnya beliau mengutarakan beberapa agenda. reformasi sedangkan agenda paling penting bagi reformasi politik ialah menghapus politik wang. Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau.


Saya bersama Pakatan Harapan memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik COVID-19. Saya berkeyakinan bahawa Pakatan Harapan dan parti-parti pembangkang yang lain mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik COVID-19, menghidupkan semula. ekonomi, dan pendidikan yang dipinggirkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian.


Berdasarkan keadaan pendidikan negara setelah setahun lebih kerajaan PN memerintah, saya khuatiri jika dibiarkan ia terus memerintah, pendidikan anak anak dan siswa pengajian tinggi akan bertambah teruk dan rosak. Demi menyelamatkan pendidikan dan masa depan anak-anak bangsa, saya memilih untuk tidak memberikan lagi peluang kepada kerajaan yang gagal ini untuk terus berkuasa dan merosakkan sektor Pendidikan.


YB Dr Maszlee Malik

MP Simpang Renggam

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page