Tradisi dan Perpaduan Dirai: Kampung Tagaroh Meriahkan Pesta Kaamatan 2025
- nabalunews
- Jun 4
- 1 min read

4 Jun 2025
KOTA MARUDU : Kampung Tagaroh, Kota Marudu menyaksikan sambutan meriah sempena Pesta Kaamatan 2025 yang berlangsung pada 3 Jun. Majlis pembukaan rasmi telah disempurnakan oleh Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) bagi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bandau, Suzie Salapan, dalam suasana penuh semangat kebersamaan dan penghargaan terhadap warisan budaya.
Dalam ucapan perasmiannya, Suzie menyatakan penghargaan yang tinggi atas kepercayaan dan penghormatan yang diberikan kepadanya untuk merasmikan sambutan di kampung kelahirannya sendiri. Beliau menyifatkan jemputan tersebut sebagai satu penghormatan ikhlas dan lambang kasih sayang daripada seluruh komuniti Kampung Tagaroh.
“Saya menerima jemputan ini dengan penuh rasa rendah diri dan terharu. Ia bukan semata-mata satu tanggungjawab rasmi, tetapi merupakan penghormatan yang lahir daripada kasih sayang dan kepercayaan sebuah komuniti yang membesarkan dan membentuk diri saya,” ujar beliau.

Suzie turut menzahirkan hasrat agar aspirasi untuk melihat kampung halaman terus maju dan cemerlang akan sentiasa menjadi matlamat bersama. Beliau menyeru agar semangat perpaduan yang terpamer dalam sambutan tersebut dapat dikekalkan demi kemajuan komuniti secara menyeluruh.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tagaroh, Redjoe Galanang, memaklumkan bahawa pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan sempena sambutan ini. Antara acara utama termasuk pertandingan sukaneka antara zon, jamuan makan bersama, serta cabutan tiket bertuah yang menggalakkan penglibatan menyeluruh dalam kalangan penduduk.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Suzie atas kesudian beliau hadir dan menyempurnakan majlis perasmian, serta berterima kasih kepada seluruh komuniti Kampung Tagaroh atas komitmen dan kerjasama menjayakan sambutan tersebut.
Pesta Kaamatan di Kampung Tagaroh tahun ini sekali lagi membuktikan pentingnya perayaan tradisi sebagai medium pengukuhan jati diri, penyatuan masyarakat, serta pengekalan nilai budaya dalam kalangan generasi masa kini dan akan datang.
Comentarios