top of page
  • nabalunews

TRAGEDI DUA BOT KARAM: OP SAR BELUM TEMUKAN SEBARANG PETUNJUK


18 JAN 2021


SANDAKAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hilang dalam dua tragedi bot karam pada 13 dan 15 Jan lepas masing-masing di perairan Kuala Kinabatangan Besar dan Kuala Meruap, kini memasuki hari keenam dan keempat tanpa menemukan sebarang petunjuk.


Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan Komander Ahmad Firdaus Shaari berkata sektor pencarian diperluaskan daripada 211 batu nautika persegi kepada 303 batu nautika persegi bagi kedua-dua kes itu melibatkan sembilan agensi.


“Dalam beberapa hari ini, memang kami tidak menemukan apa-apa petunjuk walaupun kami telah meminta bantuan daripada Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia untuk membuat pencarian melalui udara, sekurang-kurangnya tompokan minyak daripada bot-bot yang tenggelam.


“Namun, itu (tompokan minyak) juga tidak dapat dikesan mungkin kerana faktor cuaca hujan lebat dan ombak yang kuat,” katanya ketika ditemui pemberita semasa ketibaan tujuh mangsa yang diselamatkan daripada kapal kargo Mermaid Challenger, yang karam di perairan Terumbu Segama semalam, di jeti Markas Wilayah Laut 2 Tentera Laut Diraja Malaysia di sini hari ini.


Ahmad Firdaus turut memberitahu pihaknya belum dapat memastikan sama ada mayat lelaki yang ditemukan dekat Pulau Tambisan pada Sabtu lepas mempunyai kaitan dengan satu daripada kejadian tersebut.


Menurutnya, mayat itu telah diserahkan kepada pihak forensik polis bersama Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti identiti mayat tersebut.


Pada 13 Jan lepas, tiga daripada empat kru sebuah bot tunda yang diberi nama Ever Winner hilang ketika bot itu karam di perairan Kuala Kinabatangan Besar.


Dalam kejadian 15 Jan pula, dua nelayan hilang ketika bot pukat tunda yang dinaiki mereka bersama dua lagi kru yang terselamat, terbalik dan karam di perairan Kuala Meruap. -Bernama

コメント


bottom of page