top of page

Transformasi bank digital perlu dipercepat, diberi laluan pantas - PM

  • nabalunews
  • Aug 2, 2024
  • 2 min read

2 Ogos 2024


PETALING JAYA : Transformasi bank digital di Malaysia perlu dipercepatkan dan diberi laluan pantas supaya dapat bergerak maju dan tidak ketinggalan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, Malaysia bukan antara yang terawal memperkenalkan bank digital di rantau ini dan agak ketinggalan dalam beberapa aspek.


Anwar turut menekankan kerajaan, melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Digital memberikan sokongan supaya bank digital tidak lagi terhambat dan terhalang dengan peraturan dan proses yang lama.


"Saya yakin seluruh keluarga GX Bank ini akan menyahut cabaran ini dengan berani,” katanya pada Majlis Peluncuran Ibu Pejabat GXBank dan Pelancaran Pusat Kecemerlangan GXBank di sini pada Jumaat.


Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Ibu Pejabat GXBank dan Pelancaran Pusat Kecemerlangan di Galleria Avenue Malaysia, Bandar Utama pada Jumaat.


Hadir sama Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.


Sementara itu Perdana Menteri berkata

kejayaan bank digital pertama Malaysia, GXBank mencatat lebih daripada 750,000 pengguna pada Julai tahun ini berbanding 100,000 pengguna pada November tahun lalu disifatkan sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan.


Katanya jumlah yang dicapai dalam tempoh singkat itu bukan sekadar melibatkan golongan profesional atau atasan sahaja tetapi turut merangkumi semua termasuk generasi muda.


Menurutnya, perkembangan positif itu akan memberi pendedahan kepada masyarakat berkaitan dua proses iaitu faedah dan pemahaman terhadap konsep digital.


"Pertama, ada peluang kepada mereka, sama ada faedah atau pinjaman dari segi penggunaan bank, itu bisa dirasa oleh mereka walaupun kecil, ia bukan cecah puluhan juta atau ribu ringgit tetapi ia sangat bermakna kepada mereka.


"Jadi dalam isu bank digital, konsepnya sama iaitu diperluaskan. Sebab itu kalau dalam satu tahun boleh mencecah 800,000 tetapi kemudahan itu atau apa yang disebut ekonomi yang merakyatkan.


"Kedua, yang sangat kritikal dalam zaman digital ini ialah pendedahan kepada maksud digital. Setiap kali kita perkenalkan satu konsep baharu contohnya transformasi digital, saya sangat bimbang kerana apa erti perubahan kalau ia tidak memberi manfaat kepada masyarakat terbanyak, lebih parah ia menyebabkan kesenjangan lebih melebar," katanya.


Dalam pada itu, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah GXBank, Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata, GXBank mempunyai hala tuju dan misi bank untuk keterangkuman kewangan sebati dengan etos dan operasi bank sejak awal penubuhannya.


"Daripada hanya 100,000 pengguna pertama dalam tempoh dua minggu pertama pelancaran bank kami di bulan November tahun lepas, kami kini sudah mencatatkan lebih daripada 750,000 pengguna yang telah membuka lebih daripada 800,000 dana simpanan dan jumlah ini semakin meningkat.


“Kami juga telah mencecah lebih daripada 13 juta transaksi melalui kad GX and kod QR. Ini adalah tanda sokongan padu terhadap GXBank,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page