Tuaran Cipta MBOR Tanam 10,000 Pokok Tangkol Serentak
- nabalunews
- Sep 30
- 2 min read

30 September 2025
TUARAN: Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Daerah Tuaran berjaya mencipta Malaysia Book of Records (MBOR) selepas menanam 10,000 pokok Tangkol secara serentak.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, acara julung kali diadakan itu merupakan kesinambungan daripada program Hari Bumi Sedunia pada April lalu.
"Program pada hari ini melibatkan penyertaan pelbagai pihak termasuk sekolah yang diberi peranan utama dalam usaha awal menjaga sungai.
"Manfaat yang paling besar ialah kesedaran iaitu kita mesti bertanggungjawab terhadap sungai kita.
“Pada hari ini, kita bermula dengan sekolah dulu dan kita harapkan seterusnya komuniti seperti Ketua Kampung dan sebagainya.
"Yang pertama, usaha kita menanam pokok Tangkol mengikut apa yang dibolehkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran iaitu lima meter daripada tebing.
"Diharap program ini dapat diteruskan setiap tahun sehingga semua 15 batang sungai di Tuaran jernih kembali seperti dahulu dan kita harapkan spesis ikan yang ada akan membiak secara mampan," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Peringkat Daerah Tuaran di Pusat Rekreasi Kelab Tamparuli di sini, pada Ahad.
Madius menambah, satu lagi manfaat pada program berkenaan adalah pembudayaan Zero Waste.
"Ini langkah kecil tetapi kita berharap ia akan menjadi besar sehingga menjadi satu dasar daerah dari segi penganjuran majlis rasmi kerajaan.
“Kita juga cuba tingkatkan kesedaran tentang aktiviti pemotongan bukit terutama penanaman semula getah dengan Lembaga Industri Getah Sabah, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah dan sebagainya supaya satu dasar dibuat bagaimana teknik yang meminimumkan kesan alam sekitar,” ujar beliau.
Program berkenaan melibatkan 15 lokasi dan 45 buah sekolah di sekitar daerah Tuaran.
Hadir sama, Pegawai Daerah, Herman Tungigging, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Hennevy W Harry, Pegawai Pendidikan Daerah, Awang Seman Ag Tahir dan Pengarah Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia, Nik Emir Din Nik Mohamed Din./Penerangan-


















Comments