Tuaran kubu kuat UPKO, dimenangi sejak tahun 1999 – Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tuaran kubu kuat UPKO, dimenangi sejak tahun 1999 – Ewon

22 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KIULU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, Tuaran adalah kubu kuat UPKO dan satu-satunya kerusi pilihan raya yang dimenangi parti itu secara konsisten sejak 1999 sehingga kini.


Beliau berkata, kerusi itu sentiasa dimenangi oleh UPKO iaitu Datuk Madius Tangau dari tahun 1999 hingga 2008 dan Datuk Wilfred Bumburing pada 2008 hingga 2013 sebelum diteruskan oleh Datuk Madius pada 2013 hingga sekarang.


“Ini membuktikan kekuatan UPKO itu jelas kelihatan dan dirasakan di Tuaran dan mudah-mudahan kekuatan itu menjadi motivasi dan inspirasi kepada bahagian bahagian UPKO yang lain untuk turut sama menjadikan bahagian mereka sebagai kubu kuat UPKO yang baharu,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Konvensyen UPKO Zon B, di Dewan Masyarakat Kiulu, di sini, semalam.


Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Madius sebagai Ketua Bahagian UPKO Tuaran, Presiden Kehormat UPKO dan Ahli Parlimen Tuaran atas kerja keras memperkukuhkan kedudukan parti itu di kawasan Tuaran.


Ewon berkata, parti itu akan terus mencari pendekatan terbaik untuk mengekalkan Tuaran sebagai kubu kuat UPKO.


“Ini memerlukan sokongan besar daripada para perwakilan dan para pemimpin akar umbi di Tuaran.


“Apabila kita menggunakan pendekatan yang progresif, yakinlah rakyat akan memilih kita kerana pendekatan diplomasi kita. Upko kini tampil dengan pendekatan baharu dan wawasan yang lebih progresif,” katanya.


Beliau turut mengalu-alukan penyertaan anak-anak muda yang sebelum ini tidak pernah menyertai UPKO kini menyertai parti itu.


“Penyertaan ini akan mewujudkan kubu kuat baru UPKO kerana kubu kuat mana-mana parti ditentukan oleh rakyat, daripada rakyat untuk rakyat,” katanya.

bottom of page