Tuaran tuan rumah Kejohanan Bina Badan Mr Sabah di Dewan Sri Sulaman, dari 1-2 Ogos Depan
- nabalunews
- Jun 24, 2025
- 1 min read

24 Jun 2025
TUARAN: Daerah Tuaran akan menjadi tuan rumah Kejohanan Bina Badan Mr Sabah, yang akan diadakan di Dewan Sri Sulaman, disini dari 1-2 Ogos depan.
Kejohanan peringkat negeri berkenaan akan dianjurkan Persatuan Bina Badan Sabah (SBBA) dengan kerjasama Pejabat Daerah Tuaran.
Presiden SBBA, Clarence Runggi, membuat pengumuman itu ketika mengetuai SBBA mengadakan kunjungan hormat kepada Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging.
Menurut Clarence, tujuan penganjuran Mr Sabah adalah untuk memilih ahli bina badan dari negeri ini untuk mewakili negeri dalam pertandingan bina badan peringkat kebangsaan, Mr Malaysia, yang dijangka diadakan dari 25–29 September di Pahang.
“Kejohanan Mr Sabah akan menampilkan 14 kategori, termasuk lapan kategori bina badan junior dan senior, dua kategori fizikal lelaki dan satu kategori “Model Athletic” wanita,” katanya.
Sehubungan itu, Clarence menggesa semua atlet yang berminat untuk mendaftar awal dan mengelak daripada menunggu sehingga saat akhir.
“Selain mewakili negeri, pemenang bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai, pingat dan sijil kejohanan,” katanya.
Sementara itu, Herman mengalu-alukan dan merakamkan penghargaan atas pemilihan Tuaran sebagai daerah tuan rumah pertandingan berprestij itu.
Beliau menjemput peminat sukan bina badan dan orang ramai khususnya penduduk daerah Tuaran hadir memberi sokongan kepada atlet yang mengambil bahagian.















Comments