top of page

Tugu Sempadan Bukan Pemisah – Penduduk Tambulion Ulu dan Laut Rukun Selesai Pertikaian Tagal

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


3 April 2026


KOTA BELUD: Penduduk Kampung Tambulion Ulu dan Kampung Tambulion Laut telah bergotong-royong membina tugu sempadan sebagai simbol perpaduan dan penyelesaian diplomatik terhadap isu persempadanan yang telah lama wujud antara kedua-dua buah kampung. Aktiviti berlangsung secara harmoni semalam turut menamatkan pertikaian berkaitan kawasan Tagal yang sebelum ini memerlukan persefahaman bersama.


Perasmian aktiviti itu disempurnakan oleh wakil Ketua Daerah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, merangkap Ketua Anak Negeri (KAN), Darren Malun.


Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa tugu sempadan tersebut harus dilihat sebagai simbol perdamaian, bukannya pemisah, serta memuji pendekatan rundingan damai yang diambil oleh kedua-dua komuniti tanpa menjejaskan hubungan silaturahim.

Menurut penganjur, Daiman, tugu ini akan menjadi rujukan rasmi dan lambang sejarah kepada generasi akan datang bahawa sebarang perbezaan boleh diselesaikan melalui dialog, toleransi dan semangat kekitaan. Kesepakatan yang dicapai membolehkan kawasan Tagal diurus secara lebih teratur dan dipersetujui bersama, sekaligus mengelakkan pertindihan atau salah faham pada masa hadapan.


Turut hadir dalam program itu ialah Ketua Kampung Tambulion Ulu, Daiman Basinau, Ketua Kampung Tambulion Laut, Robertson @ Neklos Jiran, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merangkap Pengerusi Tagal Tambulion Ulu, Boniface @ Doni Jiran, Pengerusi Tagal Tambulion Laut, Rebin Basinau, serta Ketua Kampung Tambulion Sorob, Sulidan Satang sebagai tanda sokongan.


Aktiviti gotong-royong yang disertai komuniti kedua-dua kampung itu bukan sahaja memperkukuh hubungan sosial, malah mengangkat nilai warisan budaya tempatan yang menitikberatkan musyawarah dan kebersamaan. Program diakhiri dengan harapan agar semangat perpaduan ini menjadi contoh kepada komuniti lain dalam mengurus isu secara berhemah, berintegriti dan berlandaskan semangat kekitaan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page