Tujuh Sekeluarga Maut Terperangkap Dalam Bencana Tanah Runtuh.
- nabalunews
- Sep 15
- 2 min read

15 September 2025
KOTA KINABALU: Tujuh sekeluarga dilaporkan meninggal dunia selepas tertimbus tanah runtuh dalam kejadian di Kampung Cenderakasih, Kolombong, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, semua mangsa dipercayai gagal menyelamat diri selepas berlakunya tanah runtuh secara tiba-tiba.
Mangsa pertama yang dikenali sebagai Husaima Sarabani, 50, ditemui pada jam 12.30 tengah hari sebelum empat lagi mangsa ditemui pihak berkuasa pada sebelah petang.

Tiga lagi mangsa maut melibatkan kanak-kanak iaitu dua adik beradik, Mohd Ilham Abdullah, 2 dan Siti Khadijah Abdullah, 4, dan seorang lagi, Mohd Izzan Gandi, 7 tahun.
Seorang lagi mangsa maut ialah Abdul Halik Darak, 50, berjaya ditemui dalam operasi pencarian yang diteruskan sehingga jam 2.20 petang.

Manakala, dua mangsa terakhir ialah Maslina Abdul Halid, 29 dan anaknya, Mohd Noriman Abdullah, 9, yang ditemui pada jam 3.20 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, operasi pencarian melibatkan seramai 20 anggota bomba dan 30 anggota polis selain dibantu 15 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Katanya, semua mangsa tertimbus antara dua ke tiga meter di bawah runtuhan rumah dan tanah bercampur sampah yang tebal, menyukarkan operasi pencarian.
"Mangsa tertimbus antara dua ke tiga meter dan kita terpaksa menggunakan tenaga manusia untuk menggali di bawah timbunan tanah dan sampah yang dianggarkan antara 20 hingga 30 tan," katanya ditemui di lokasi kejadian.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.02 pagi sebelum jentera sampai kira-kira 20 minit kemudian.
Katanya, seramai 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lintas dengan sebuah jentera yang diketuai PBK I Wilfred Sulai dikejarkan ke lokasi yang jaraknya kira-kira tiga kilometer.
“Berdasarkan laporan awal, pemanggil melaporkan satu kejadian tanah runtuh berlaku dengan sebuah rumah runtuh.
“Akibat kejadian itu, sembilan mangsa tertimbus dan dua mangsa dilaporkan dapat dikeluarkan orang awam, manakala tujuh lagi hilang,” katanya.


















Comments