top of page

Tukang Masak Miliki Tenggiling Didakwa

  • nabalunews
  • 3 days ago
  • 1 min read

3 Mac 2026


TAWAU: Seorang tukang masak sebuah pusat pelancongan di Semporna, dituduh di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa, selepas didakwa memiliki seekor tenggiling, iaitu spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.


Tertuduh, Mohammad Ali Iqram Thien Abdullah, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.


Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Ali didakwa memiliki seekor tenggiling hidup (Manis javanica) yang ditemui di dalam tong plastik berwarna hitam pada jam 5.35 petang, 23 Februari lalu.


Haiwan berkenaan diklasifikasikan sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya seperti disenaraikan dalam Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 13 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, dan pemilikan itu didakwa tanpa sebarang kebenaran sah mengikut enakmen sama.


Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 41(4)(a) enakmen sama.


Jika disabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 serta penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari lima tahun.


Tertuduh dibenarkan ikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM15,000 bersama seorang penjamin dan pasportnya diperintahkan untuk diserahkan kepada mahkamah dan diarahkan tidak mengganggu saksi pendakwaan.


Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Primus Lambut manakala tertuduh diwakili peguam, Lim Chun Yuan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page