Tular Gambar Sampul Pemberian Wang Oleh GRS Di Limbahau
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

28 November 2025
PAPAR: Gambar memaparkan sampul berisi wang yang didakwa diedarkan kepada pengundi tular di media sosial sejak semalam, sekali gus menarik perhatian orang ramai.
Sampul surat putih yang diletakkan bersama wang dan sekeping kertas tertera logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu memaparkan nama dan kad pengenalan pengundi selain maklumat pengundian penerima.
Namun kesahihan dakwaan itu masih belum dapat dipastikan dan setakat ini, belum ada pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan.

Bagaimanapun, penularan gambar tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk persoalan mengenai tujuan pengedaran sampul itu dan kaitannya dengan aktiviti kempen politik di kawasan berkenaan.
Orang awam rata-rata turut mendesak agar isu tersebut disiasat dengan teliti memandangkan ia berlaku dalam tempoh pilihan raya, di mana segala bentuk sumbangan sering diperhatikan dengan ketat dari aspek undang-undang.
Dakwaan mengenai pemberian wang ketika kempen pilihan raya secara umumnya menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh menjejaskan persepsi orang ramai terhadap ketelusan dan integriti proses demokrasi.
Pemerhati politik menegaskan sebarang bentuk sumbangan atau bantuan yang disalurkan dalam musim kempen perlu mematuhi peraturan dan garis panduan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Tindakan itu dikatakan berpotensi menimbulkan kekeliruan atau salah faham dan seharusnya dielakkan bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung dalam keadaan adil dan bebas.
SPR sebelum ini turut memberi amaran terhadap sebarang aktiviti kempen mestilah dilakukan secara beretika, tanpa sebarang imbuhan yang boleh mempengaruhi keputusan pengundi.
Buat masa ini, belum ada mana-mana pihak dijangka mengeluarkan kenyataan atau penjelasan rasmi berhubung isu berkenaan.


















Comments