top of page

Tun Juhar bantu Crisnanalina lanjutkan pengajian di UMS

  • nabalunews
  • Oct 11, 2024
  • 1 min read

11 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, yang juga Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), telah memberikan sumbangan peribadi kepada Crisnanalina Jumis, seorang pelajar dari Paitan, yang menghadapi kesulitan untuk melanjutkan pengajian di universiti tersebut.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Seri Kinabalu, Tun Juhar menyumbangkan sebuah komputer riba dan bantuan kewangan untuk menampung perbelanjaan persiapan Crisnanalina mendaftar sebagai pelajar UMS.


Bantuan ini turut merangkumi pembayaran yuran pendaftaran pelajar terbabit ke universiti.


"Bantuan ini merupakan manifestasi keprihatinan Tun Juhar terhadap kebajikan Crisnanalina, untuk memastikan beliau mendapat kemudahan yang mencukupi bagi meneruskan pengajiannya dengan lancar.


"Sebagai Canselor UMS, Tun Juhar sentiasa memberi perhatian serius terhadap kebajikan pelajar, terutamanya yang menghadapi cabaran kewangan," kata kenyataan dari Istana Seri Kinabalu.


Tambah kenyataan itu lagi, bantuan yang diberikan diharap mampu mengurangkan beban yang ditanggung oleh Crisnanalina dan seterusnya memberi motivasi kepada beliau untuk berjaya dalam pelajarannya sepanjang berada di universiti.


Sebelum ini, media melaporkan bahawa Crisnanalina, yang berasal dari Kampung Dalamas, Paitan, mengalami kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran serta menanggung pelbagai perbelanjaan berkaitan pengajian di UMS.


Keadaan ini menyebabkan beliau terpaksa mencari bantuan dari pelbagai pihak untuk membolehkannya memulakan pengajian.


Prihatin terhadap situasi tersebut, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor, telah mengarahkan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS untuk segera berhubung dengan Crisnanalina bagi mempermudahkan urusan pendaftarannya ke universiti.


Beberapa pihak termasuk Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut turut menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM3,000 kepada Crisnanalina, semalam.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page