Tun Mahathir dalam keadaan baik – Marina
- nabalunews
- 19 hours ago
- 1 min read

6 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berada dalam keadaan baik selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), menurut anak perempuannya Datin Paduka Marina Mahathir.
Bercakap kepada Bernama, Marina berkata walaupun perkara itu dianggap sebagai serius, ia tidak mengancam nyawa, sambil menegaskan bahawa bapanya berada dalam keadaan baik mengambil kira faktor usianya.
“Ia suatu yang serius, tetapi tidak berbahaya. Bagi usianya, segala-galanya adalah relatif… beliau baik-baik sahaja.
“Kami akan mengeluarkan kenyataan yang lebih lengkap dengan butiran lanjut kemudian. Kami perlu memastikan semua istilah yang betul digunakan,” katanya ketika ditemui di lobi IJN di sini hari ini.
Tun Dr Mahathir dimasukkan ke IJN kira-kira jam 9.30 pagi tadi, selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya awal pagi tadi.
Setiausaha Akhbarnya Sufi Yusoff, dalam satu mesej yang dikongsi menerusi kumpulan WhatsApp rasmi Dr M Media Updates hari ini berkata negarawan berusia 100 tahun itu, dibawa ke IJN dengan ambulans dan dilaporkan berada dalam keadaan sedar.
Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh itu, sebelum ini pernah menerima rawatan di IJN pada 13 Julai 2025 akibat keletihan, namun dibenarkan pulang pada hari sama.
Sementara itu, Sufi dalam kumpulan mesej yang sama memaklumkan bahawa selepas penilaian perubatan, disahkan Tun Dr Mahathir mengalami patah tulang pinggul kanan.
“Tun dijangka akan berada di hospital untuk beberapa minggu bagi rawatan dan pemantauan,” katanya. -BERNAMA














