Tun Musa terima kunjungan Panglima 5 Briged baharu
- nabalunews
- Apr 3
- 1 min read

3 April 2026
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menerima kunjungan hormat Panglima Briged Kelima (5 Briged) Infantri Malaysia ke-37 yang baharu, Brigedier Jeneral Abdul Razak Haron di Istana Seri Kinabalu, semalam.
Abdul Razak berkata, kunjungan berkenaan bertujuan memaklumkan Tun Musa mengenai penempatan beliau sebagai Panglima Briged Kelima Infantri di Kem Paradise, Kota Belud, berkuat kuasa mulai 3 April 2026.
Beliau menegaskan komitmen untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada kerajaan negeri, selain memperkukuh kerjasama serta hubungan baik antara Tentera Darat Malaysia dan kerajaan Sabah.
"Saya dan seluruh kepimpinan Tentera Darat di 5 Briged akan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada kerajaan negeri dan memastikan kerjasama serta hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama terus diperkukuh pada masa akan datang.
"Selain itu, saya menzahirkan kesediaan dan taat setia untuk berbakti kepada rakyat dan negeri Sabah. Ia satu rahmat untuk bertugas di negeri ini buat kali kedua," katanya ketika ditemui media selepas kunjungan tersebut.
Menurut beliau, kunjungan itu juga menjadi platform bertukar pandangan dan membincangkan mengenai isu keselamatan negeri serta perancangan baharu berkaitan penyediaan aspek keselamatan oleh pihak tentera di negeri ini.
Abdul Razak menggantikan Panglima Briged Kelima Infantri Malaysia ke-36, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zamri Abdullah yang akan bertugas sebagai Ketua Pengarah Cawangan Operasi Pertahanan di Bahagian Operasi Latihan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia.
Hadir sama, Pegawai Staf 2 Tadbir/Logistik Markas 5 Briged, Mejar Syamsul Anwar Ahmad; Pegawai Staf 3 Logistik Markas 5 Briged, Kapten Fakrur Radzi Zulkifli; Atur Turus Markas 5 Briged, Kapten Muhammad Hazimin Helmi dan Pegawai Staf 3 Gerak Markas 5 Briged, Kapten Datu Mohd Hazlin Datu Ali Nafiah.















Comments