TUNGGU ISU PEWARTAAN SELESAI, PROJEK NAIK TARAF JALAN BERUNGIS BELUM DAPAT DILAKSANAKAN
nabalunews

2 Disember 2020
KUALA LUMPUR: Projek Naik Taraf Jalan Berungis, Tuaran yang melibatkan peruntukan RM159 juta masih belum dapat dilaksanakan sehingga isu pewartaan selesai.
Menteri Kerja Raya, Dato' Sri Fadillah Yusof berkata, terdapat isu berkaitan keperluan pewartaan Jalan Negeri kepada Jalan Persekutuan bagi Projek Naik Taraf Jalan Berungis, Tuaran yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Kementerian ini telah mendapatkan pandangan Penasihat Undang-Undang dan dalam proses penelitian lanjut sebelum pelaksanaan projek dapat diteruskan bagi memastikan ia dapat berjalan lancar dan mengelakkan sebarang isu berbangkit.
“Walau bagaimana pun, kementerian ini sentiasa komited melaksanakan setiap projek yang telah diluluskan,” katanya.
Fadillah berkata demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap soalan lisan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Dalam soalannya, Madius meminta Menteri Kerja Raya menyatakan status perlaksanaan Projek Naik Taraf Jalan Berungis, Tuaran yang melibatkan peruntukan RM159 juta.
Untuk rekod, laluan Jalan Berungis Tuaran mengalami kesesakan kritikal setiap hari terutama pada waktu puncak sehingga pernah merekodkan kes ibu hamil terpaksa bersalin dalam kereta di atas jalan raya.
Comentarios