top of page

Tuntutan 20 Peratus Royalti Minyak Masih Relevan – Salleh

  • 5 hours ago
  • 1 min read

23 Mei 2025


KOTA KINABALU: Tuntutan 20 peratus terhadap royalti minyak daripada Petronas masih relevan dan tidak seharusnya diketepikan meskipun fokus kini beralih kepada isu tuntutan 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip dari negeri.


Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, tuntutan royalti minyak lebih mudah difahami berbanding isu pemulangan hasil 40 peratus yang masih kabur dari segi pelaksanaan serta kerap menjadi polemik dari sudut perundangan dan teknikal.


“Tuntutan royalti minyak adalah lebih mudah difahami dan tidak memerlukan tafsiran yang rumit.


“Ia hanya memerlukan kesepakatan dan kemahuan politik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.


Sabah ketika ini menerima royalti 5 peratus daripada Petronas berdasarkan Perjanjian Royalti Minyak 1976.


Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata, usaha penglibatan Sabah dalam sektor hiliran minyak dan gas sebagai langkah positif ke arah penyertaan industri dan pemerkasaan ekonomi tempatan.


Namun katanya, penyertaan tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai pengganti kepada tuntutan royalti 20 peratus yang sudah sekian lama diperjuangkan oleh Sabah untuk mendapatkan bahagian yang lebih adil daripada sumber sendiri.


“Royalti merujuk kepada hasil langsung daripada pengeluaran sumber. Ia adalah soal hak dan bukan sekadar kerjasama ekonomi.


“Tuntutan ini bukanlah sesuatu yang lapuk malah ia masih relevan dan wajar. Semasa kita membincangkan isu pemulangan hasil 40 peratus, janganlah kita melupakan suara asal rakyat Sabah,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page