top of page

Tuntutan 35 peratus kerusi parlimen Sabah, Sarawak tidak wajar dipertikai

  • nabalunews
  • 7 minutes ago
  • 2 min read

ree

9 Disember 2025


KUALA LUMPUR: Tuntutan pengembalian 35 peratus kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak tidak sewajarnya dipertikaikan, sebaliknya perlu dilaksanakan selaras dengan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Senator Datuk Edward Linggu Bukut.


Beliau berkata, adalah amat mengecewakan apabila asas dan keabsahan isu pengagihan kerusi berkenaan terus dipertikaikan, meskipun setelah lebih enam dekad kedua-dua wilayah Borneo itu menyertai Malaysia.


Menurutnya, kenyataan mantan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, yang menyifatkan tuntutan 35 peratus itu sebagai “naratif politik” tanpa asas undang-undang amembayangkan masih wujud salah faham terhadap persetujuan asal pembentukan Malaysia.


“Dalam Perlembagaan, kita tidak nampak peruntukan yang menyatakan 15 kerusi milik Singapura dahulu wajar diberi kepada Malaya. Begitu juga tiada peruntukan yang menyatakan Sabah dan Sarawak tidak layak menerima kerusi itu selepas Singapura keluar.


“Jangan lagi dipertikaikan sesuatu yang telah dipersetujui sejak dahulu. Ini bukan permintaan baharu, ini tuntutan terhadap apa yang wajib dan wajar untuk Sabah dan Sarawak,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Negara pada Isnin.


Menurutnya, adalah adil dan wajar bagi Sabah dan Sarawak untuk memperoleh perlindungan perlembagaan yang penting dengan memegang 35 peratus kerusi Parlimen sebagai rakan kongsi yang bersama-sama membentuk Malaysia.


Edward menegaskan prinsip pengimbangan kuasa serta perlindungan kepentingan khas Borneo merupakan jaminan yang telah ditetapkan ketika kedua-dua wilayah itu bersetuju menyertai Malaysia, justeru ia perlu terus dihormati dan dikekalkan.


Dalam pada itu, beliau turut menyentuh kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan ke Sabah baru-baru ini, yang menyebut kerajaan bersedia menambah kerusi bagi Sabah dan Sarawak tetapi bukan mencapai satu pertiga jumlah keseluruhan kerusi Parlimen.


“Ini satu masalah kerana yang sepatutnya ialah 35 peratus, iaitu satu pertiga. Itu prinsip yang telah ditetapkan.


“Maka kita menyokong kenyataan Premier Sarawak yang menyatakan beliau menunggu ketetapan daripada Perdana Menteri untuk berbincang bagi memastikan 35 peratus kerusi itu diberi perhatian, dipertimbangkan kepada Sabah dan Sarawak,” ujarnya.


Menurutnya lagi, dokumen berkaitan MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) khususnya Perkara 6 dan 7 dalam Bab 1 juga menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.


Justeru, katanya, tiada alasan munasabah untuk tidak memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap isu tuntutan berkenaan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page