top of page

Tuntutan 40%: Pendirian saya kekal – Ewon

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

8 April 2026


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menegaskan pendiriannya berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah kekal tidak berubah.


Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah itu berkata, keputusan meletakkan jawatan daripada Kabinet Kerajaan Persekutuan sebelum ini dibuat kerana tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Sabah.


Katanya, rayuan pertama dikemukakan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi, manakala rayuan kedua pula adalah bagi menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut, yang akhirnya dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan.

“Keputusan membenarkan penangguhan itu telah menjejaskan keputusan awal Mahkamah Tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan Sanjungan Budi Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), di sini, semalam.


Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam kenyataan beliau menegaskan pendirian kerajaan negeri tidak bersetuju dengan tindakan rayuan tersebut, namun tetap menghormati proses mahkamah.


Dalam masa sama, Ewon berkata, Ketua Menteri juga mahu rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan diteruskan sehingga mencapai keputusan muktamad.

“Pada saya dan UPKO, pendirian kita tetap sama. Isu ini telah berlarutan hampir 40 tahun, dan biarlah rakyat Sabah menilai apabila tiba masanya,” katanya.


Beliau berkata, keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan serta tindakan kerajaan Persekutuan mengemukakan dua rayuan perlu dinilai rakyat, khususnya jika tuntutan 40 peratus itu masih tidak dilaksanakan.


Ewon menegaskan, UPKO sebelum ini telah menyuarakan pendirian secara konsisten di pelbagai platform termasuk dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan, Parlimen, Dewan Undangan Negeri serta Kabinet Kerajaan Sabah.


“Kita telah melaksanakan tanggungjawab kita dan akan terus konsisten menyatakan pendirian ini,” katanya.


Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya isu berkenaan tidak dimuktamadkan dan tiada pembayaran dibuat selepas pembubaran Dewan Rakyat, maka rakyat berhak menentukan kepimpinan negara.


“Jika sampai masanya 40 peratus itu belum dibayar, rakyatlah yang akan membuat keputusan,” tegasnya.


Beliau turut menjelaskan bahawa tuntutan “lost years” adalah isu berasingan daripada pelaksanaan pembayaran masa hadapan.


Katanya, bagi tempoh akan datang seperti tahun 2027 dan seterusnya, kerajaan Persekutuan sepatutnya mampu merancang mekanisme supaya 40 peratus hasil Sabah dikekalkan di negeri itu.


“Perkara ini sebenarnya tidak sukar untuk dimuktamadkan. Hal berkaitan Perlembagaan perlu diasingkan daripada dasar semasa kerajaan,” katanya.


Ewon berkata, rakyat Sabah memahami hak mereka seperti termaktub dalam Perlembagaan, dan ia perlu dibezakan daripada peruntukan pembangunan tahunan yang merupakan dasar semasa.


Sehubungan itu, katanya, UPKO telah membuat keputusan untuk terus bersama rakyat Sabah dan memperjuangkan hak negeri itu di bawah kepimpinan kerajaan negeri sedia ada.


“Kita akan teruskan perjuangan ini bersama rakyat Sabah untuk menuntut hak kita,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page