top of page

Tuntutan palsu lebih RM650,000, pasangan suami isteri ditahan SPRM Sabah

  • nabalunews
  • Oct 15, 2024
  • 1 min read
ree

15 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan pasangan suami isteri kerana disyaki terlibat dalam kes tuntutan palsu kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) membabitkan pembekalan minyak diesel berjumlah lebih RM650,000.


Menurut sumber, pasangan suami isteri berusia lingkungan 50-an hingga 60-an yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas Pengarah Eksekutif di sebuah syarikat swasta ini dipercayai telah membuat kira-kira 15 tuntutan palsu daripada SESB.


"Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek dipercayai telah membuat kira-kira 15 tuntutan palsu sekitar tahun 2013 membabitkan kontrak pembekalan minyak diesel bagi kegunaan set jana kuasa elektrik yang diperoleh dari syarikat tempat mereka bekerja.


"Namun pembekalan minyak berkenaan yang sebenar tidak sama seperti dalam tuntutan dibuat," katanya.


Sumber berkata, kedua-dua suspek telah ditahan sekitar jam 10.55 pagi tadi ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Sabah.


Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.


Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah Tawau Khamis ini bagi proses pertuduhan.


Karunanithy mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak terlibat dengan kegiatan pemalsuan dokumen kerana ia merupakan satu kesalahan jenayah dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page