Tuntutan pelantar benua sama penting dengan hak 40 Peratus – Madius
- nabalunews
- Apr 25
- 2 min read

25 April 2026
KOTA KINABALU: Tuntutan hak ke atas pelantar benua sama penting dengan perjuangan menuntut hasil 40 peratus kerana kedua-duanya melibatkan kedaulatan Sabah sebagai rakan setara dalam pembentukan Malaysia, kata Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Beliau berkata kekeliruan timbul dalam kalangan masyarakat susulan perkongsian beliau di media sosial berhubung tuntutan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR), dengan sebahagian pihak mengaitkannya dengan tuntutan 40 peratus.
“Secara ringkasnya, tuntutan hak pelantar benua dan tuntutan 40 peratus adalah dua perkara berbeza, namun kedua-duanya penting kerana menyentuh hak serta sumber hasil negeri Sabah
“Kedua-duanya melibatkan kedaulatan dan kelangsungan hidup Wilayah Sabah sebagai rakan yang saksama dalam membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963,” katanya dalam satu kenyataan.
Madius menjelaskan semasa pembentukan Malaysia, sempadan laut Sabah adalah jelas berdasarkan North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954, yang memperuntukkan hak wilayah laut sehingga 200 batu nautika serta meliputi keseluruhan kawasan pelantar benua.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, pada ketika itu segala sumber petroleum, gas asli dan hasil bumi di kawasan berkenaan adalah milik mutlak Sabah.
“Bagaimanapun, pelaksanaan Akta Laut Wilayah 2012 telah mengecilkan hak Sabah kepada hanya tiga batu nautika, sekali gus meletakkan sebahagian besar kawasan pelantar benua di bawah kawalan Persekutuan.
“Pengecilan ini menyebabkan Sabah tidak lagi mempunyai hak ke atas hasil sumber di luar jarak tiga batu nautika, sedangkan kawasan itulah yang menyimpan khazanah minyak, gas dan mineral,” katanya.
Ujarnya, kehilangan hak tersebut memberi kesan langsung terhadap keupayaan ekonomi negeri, termasuk dalam usaha membangunkan infrastruktur serta menaik taraf kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.
Sehubungan itu, Madius berkata perjuangan menuntut semula hak pelantar benua perlu dilihat sebagai usaha mempertahankan kedaulatan negeri dan masa depan rakyat Sabah.
Beliau turut memaklumkan bahawa SABAR telah memulakan tindakan undang-undang dengan mengemukakan lebih 500 dokumen arkib dan sejarah, termasuk rekod kerajaan British, sebagai bukti bagi menyokong tuntutan berkenaan.
Menurutnya, mahkamah telah mengiktiraf hak SABAR untuk membawa kes tersebut, dengan pendengaran pertama di Mahkamah Persekutuan dijadual berlangsung pada 30 April ini.
“Ini adalah usaha bersejarah untuk menghentikan penghakisan hak Sabah yang telah lama berlaku, dan jika kita tidak bertindak sekarang, kita akan kehilangan hak selamanya ke atas kawasan pelantar yang kaya dengan sumber asli ini,” katanya.















Comments