Turun hantaran mengenai Ismail Haniyeh mungkin libatkan pihak tertinggi Meta – Fahmi
2 Ogos 2024
KUALA LUMPUR: Tindakan pengendali media sosial Facebook menurunkan hantaran pemimpin di Malaysia termasuk Perdana Menteri berkaitan ucapan takziah atas kematian Ketua Biro Politik Hamas Almarhum Ismail Haniyeh mungkin melibatkan pihak tertinggi Meta.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata setakat tengah hari tadi pihak Meta belum memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenai perkara itu.
“Tapi dalam siri perbincangan saya dengan beberapa pegawai Meta di peringkat rantau Asia Tenggara, mereka tidak memberikan bayangan bahawa ini adalah tindakan di peringkat mereka.
“Ada kemungkinan ini berlaku di peringkat yang lebih tinggi. Bukan pada peringkat Meta di rantau ini.
“Mungkin ini peringkat ibu pejabat, kemungkinanlah. Kita tengah nak cuba dapatkan pengesahan.
“Tapi ia sangat mengecewakan. Pernah berlaku dulu dan kita akan dapatkan kepastian sebelum kita pertimbang tindakan seterusnya," katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara di sini.
Tambahnya, beliau menunggu penjelasan lanjut daripada Meta sebelum membuat sebarang tindakan.
“Kita ada pertimbangan, kita nak dapatkan dulu tunggu penjelasan pihak Meta.
“Saya lihat pasukan di rantau ini mereka pun sangat keliru mengapa tindakan ini berlaku dan saya lihat ini bukan tindakan di pihak mereka. Saya tak salahkan mereka. Kita tunggu penjelasan yang lebih mendalam.
“Saya difahamkan mungkin ada delegasi pihak Meta yang akan datang ke Kuala Lumpur minggu hadapan. Kita bagi masa sehingga mereka datang untuk beri penjelasan.” Jelasnya.
“Saya difahamkan bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja yang hantarannya telah diturunkan. Ada ramai, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Amirudin Shaari.
“Ramai yang telah hantaran mereka diturunkan. Ini tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa, yang agak kelakarnya Amerika Syarikat melaungkan kebebasan bersuara tetapi Meta dalam bab ini terutamanya mereka patut praktis apa yang mereka laungkan. Jika tidak, ia adalah hipokrit.” Katanya.
Comentarios