UDA salur insentif RM250,000 kepada 100 usahawan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UDA salur insentif RM250,000 kepada 100 usahawan



25 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


MELAKA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menerusi agensi UDA Holdings Berhad (UDA) menyalurkan insentif bernilai RM250,000 kepada 100 usahawan di Hab Keusahawanan Morten Walk di Kampung Morten, di sini.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ia adalah bantuan Program Pembangunan Usahawan UDA iaitu pembiayaan dalam bentuk rebat sewa dan kos pengurusan.


“Ini selari dengan strategi kementerian untuk meningkatkan bilangan usahawan yang berkelayakan, berdaya tahan serta kebolehupayaan usahawan tempatan, terutamanya dalam sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).



“Kementerian yakin ia dapat melahirkan lebih ramai lagi golongan usahawan yang berdaya saing serta menjadi tulang belakang bagi mengukuhkan pembangunan negara,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan projek Pembangunan Hab Keusahawanan Morten Walk, di Kampung Morten, di sini, hari ini.


Ewon berkata, peruntukan keseluruhan untuk KUSKOP dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan semalam berjumlah RM732 juta merangkumi RM520 juta perbelanjaan pembangunan dan RM212 juta perbelanjaan mengurus.


“Sejumlah RM30 juta diperuntukkan bagi menyediakan ruang niaga yang strategik kepada usahawan PKS dan penjaja kecil di bawah program ‘Malaysia Entrepreneur Hub’ oleh UDA Holdings Berhad.



“Saya melihat Hab Keusahawanan Morten Walk yang dibangunkan oleh UDA ini, dengan menyediakan akses pasaran menerusi penyediaan fasiliti di lokasi strategik dan kondusif, berupaya membuka peluang kepada usahawan tempatan terutamanya PMKS mengembangkan perniagaan dan seterusnya melahirkan lebih ramai usahawan berdaya maju,” katanya.


Beliau berharap ia dapat menyumbang kepada kepesatan ekonomi negara selari dengan konsep Malaysia Madani yang memfokuskan pada pembangunan negara yang lebih mampan dan makmur.



“Saya turut yakin inisiatif ini juga mampu menarik para pelancong domestik dan luar negara ke Melaka dan pada masa yang sama dapat meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini.


“Strategi ini juga dapat menyekat migrasi masyarakat tempatan ke pusat bandar terutamanya golongan belia yang merupakan tenaga utama bagi merapatkan jurang sosioekonomi tempatan,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page