Ugut Guna WhatsApp, Buruh Warga Asing Ditahan
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

21 Februari 2026
TAWAU: Polis Tawau menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki membuat ugutan terhadap seorang lelaki tempatan melalui aplikasi WhatsApp, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin memaklumkan, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa menerima ugutan daripada suspek ketika berada di Hospital Tawau.
Menurutnya, suspek yang dikenal pasti oleh mangsa telah menghantar mesej suara menuntut sejumlah wang, dan bertindak mengugut apabila permintaan tersebut tidak dipenuhi.
"Bertindak atas laporan polis yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau telah menjalankan risikan dan berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 42 tahun yang bekerja sebagai buruh di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Baru Batu 2, Jalan Apas, semalam.
"Hasil tangkapan awal mendapati suspek dipercayai terlibat dalam kes ugutan berkenaan dan telah dibawa ke balai polis bagi memudahkan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Tambahnya, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana suspek tidak memiliki dokumen perjalanan atau permit yang sah untuk berada di negara ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam sebarang bentuk kegiatan ugutan atau pemerasan.
"Mangsa ugutan diminta tampil membuat laporan polis segera di balai polis terdekat bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana individu yang bertindak di luar undang-undang," katanya.


















Comments