UiTM Dan Cipta Impact Meterai MoU, Perkasakan Pendidikan STEM Dan Inovasi Pelajar.
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

KOTA KINABALU: Universiti Teknologi MARA (UiTM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Cipta Impact Sdn. Bhd. bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, inovasi dan pembangunan pelajar khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Majlis pemeteraian MoU yang berlangsung di Library Community Engagement (LCE), Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Sabah itu merupakan inisiatif Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) dalam memperluas jaringan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dengan pihak industri.
MoU disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Datuk TS. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, yang mewakili pihak universiti, manakala Cipta Impact diwakili Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ar. Soo Yean Ming James.

Majlis turut disaksikan Rektor UiTM Cawangan Sabah, Prof. Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed serta Pengurus Pentadbiran dan Projek Cipta Impact, Fiona Freda Gumba.
Turut hadir ialah Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Dr. Siti Sarayati Hj. Mawah; Koordinator Prasiswazah Diploma Sains Komputer FSKM, Dr. Ung Ling Ling serta wakil alumni Diploma Sains Komputer UiTM Cawangan Sabah, Tommy Chin Li Wei, Sean Daniel Sylvester dan Kezia Amenda Kelly Bajarai.
Koordinator Prasiswazah Diploma Sains Komputer FSKM, Dr. Ung Ling Ling berkata,
Kerjasama yang berlangsung selama tiga tahun itu memberi tumpuan kepada perkongsian kemahiran secara komprehensif melalui pelaksanaan pelbagai program yang dapat memperkasa pendidikan STEM, Internet Benda (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) dalam kalangan pelajar di Sabah.
Katanya, kerjasama berkenaan turut dilihat sebagai langkah strategik dalam merapatkan jurang antara pendidikan tinggi dengan keperluan industri semasa.
“Selain itu ia turut menyediakan peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman pembelajaran yang lebih praktikal dan berasaskan keperluan sebenar industri.
“Cipta Impact, sebagai sebuah perusahaan sosial kreatif yang memberi tumpuan kepada pendidikan pembuatan secara praktikal atau hands-on maker education.
“Ia dilihat mampu melengkapi aspek akademik melalui pendekatan pembelajaran yang menekankan kreativiti, penyelesaian masalah, pemikiran reka bentuk (design thinking) dan kelestarian,” katanya.
Menurutnya, menerusi kolaborasi itu, pelajar bukan sahaja didedahkan kepada pengetahuan dan teori di bilik kuliah, malah berpeluang mengaplikasikan kemahiran melalui pengalaman pembelajaran dan kolaborasi bersama pihak industri.
“Kerjasama strategik berkenaan dijangka memberi impak jangka panjang dalam melahirkan graduan yang lebih holistik, berdaya saing, kreatif dan berinovasiz
“Ia selaras dengan usaha UiTM untuk melahirkan generasi changemakers serta penginovasi yang mampu memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan.
“Inisiatif tersebut juga mencerminkan komitmen berterusan UiTM dan rakan strategiknya dalam memperkukuh ekosistem pendidikan STEM serta memperluas peluang pembangunan bakat dan inovasi dalam kalangan pelajar di Sabah,” katanya.















Comments