UKKM dijangka beroperasi Mei ini: Ewon
top of page
  • nabalunews

UKKM dijangka beroperasi Mei ini: Ewon

20 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang dikendalikan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dijangka mula beroperasi Mei ini.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, UKKM telahpun mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan akan menawarkan lima program pengajian.


“Tahap program yang ditawarkan meliputi dua program Diploma, dua program Ijazah Sarjana Muda dan satu program Ijazah Sarjana.


“Program-program itu ialah Diploma Keusahawanan Koperasi, Diploma Pengurusan Koperasi, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi) (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Keusahawanan Koperasi) (Kepujian) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi),” katanya.


Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) di Dewan Rakyat hari ini.


Ewon berkata, sehingga kini UKKM telah memenuhi dua per tiga daripada syarat-syarat iaitu kelulusan penubuhan dan kelulusan pelaksanaan program daripada MQA.


“Susulan itu, audit fasiliti UKKM oleh Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) telah dilaksanakan  pada pertengahan Mac tahun ini dan merupakan antara fasa terakhir sebelum UKKM mendapat kelulusan beroperasi yang dijangka pada Mei 2023,” katanya.

bottom of page