top of page

Ulu Kadamaian Trail Run 2026 Vol. 5 Kembali dengan Cabaran Denai Lebih Mencabar

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

21 Februari 2026


KOTA BELUD: Kelab Sukan dan Rekreasi Kampung Kiau (KSRK) mengumumkan penganjuran Ulu Kadamaian Trail Run Vol. 5 yang akan berlangsung pada 25 April 2026 (Sabtu), bertempat di SK Kiau 1, Kota Belud, Sabah.


Acara tahunan yang memasuki edisi kelima ini menjanjikan pengalaman larian denai yang mendebarkan dengan latar belakang keindahan alam semula jadi Ulu Kadamaian yang merupakan sebahagian daripada Geopark Global Kinabalu.


Penganjuran program kali ini menawarkan dua kategori utama iaitu 9KM dan 21KM yang terbahagi kepada empat kategori peserta terdiri daripada Lelaki Terbuka, Lelaki Veteran, Wanita Terbuka dan Wanita Veteran.


Pihak penganjur membuka pendaftaran kepada orang ramai dengan tawaran harga istimewa untuk pendaftaran awal serta pendaftaran berkumpulan.


Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Kg Kiau, Alexander Saibun, menyatakan bahawa program ini bukan sekadar larian, tetapi merupakan inisiatif memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.


Menurut beliau, pihaknya berhasrat menjadikan Ulu Kadamaian sebagai destinasi pilihan untuk pelancongan sukan yang bukan sahaja mencabar fizikal peserta, bahkan menghidangkan pemandangan indah serta budaya komuniti setempat yang hangat.


Kerjasama erat turut dijalin bersama Komuniti Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung setempat bagi memastikan kelancaran acara.


Pengerusi Program merangkap Pengarah Larian, Geofarry Gunsalam memaklumkan bahawa pihaknya telah menyediakan perancangan rapi dari segi keselamatan dan pengurusan kecemasan.


Jawatankuasa yang ditubuhkan turut melibatkan penduduk kampung, pasukan perubatan, RELA, dan Bomba Sukarela Kiau bagi memastikan setiap peserta selamat dari awal hingga ke garisan penamat.


Pihak penganjur juga komited dalam mempromosikan produk komuniti serta menjana ekonomi setempat melalui penglibatan peserta dalam aktiviti pelancongan seperti homestay dan perkhemahan di sekitar Ulu Kadamaian.


Orang ramai yang berminat untuk menyertai cabaran ini boleh mendapatkan maklumat lanjut serta mendaftar sebelum tarikh tutup pada 14 Mac 2026. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Paulina Gunsalam di talian 013-8511471 atau Astilieca Joan di 010-5822497.


Acara larian denai ini akan berlangsung pada 25 April 2026 bermula jam 6.30 pagi di SK Kiau 1, Kota Belud. Yuran penyertaan bagi kategori 9KM ialah RM65 untuk individu dan RM60 untuk kumpulan minimum 10 orang, manakala kategori 21KM pula dikenakan yuran RM175 untuk individu dan RM170 untuk kumpulan minimum 10 orang.


Ulu Kadamaian Trail Run Vol. 5 dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Kampung Kiau dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) , Majlis Daerah Kota Belud, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Sabah Tourism Board (STB) , Geopark Taman Sabah, Hospital Kota Belud, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Ranau, RELA, Majlis Sukan Sabah, ZEAK Malaysia, serta rakan-rakan korporat yang lain.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page