UMNO, BN Sabah Sambut Baik Pengumuman Naim Sebagai Calon PRK Parlimen Kinabatangan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

20 Disember 2025
KOTA KINABALU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menyambut baik pengumuman Mohd Naim Kurniawan Moktar sebagai calon mewakili parti berkenaan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata pemilihan Mohd Naim Kurniawan bukan berasaskan faktor keturunan semata-mata, sebaliknya berlandaskan prinsip legitimasi organisasi dan penerimaan akar umbi.
Katanya, beliau turut mempunyai keupayaan kepimpinan untuk membawa dan melaksanakan mandat rakyat.
“Dalam kerangka sains politik, kesinambungan kepimpinan perlu dinilai melalui kekuatan institusi parti, sokongan akar umbi dan kemampuan calon untuk meneruskan agenda pembangunan secara berkesan.
“Mohd Naim Kurniawan memenuhi ketiga-tiga prasyarat ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Jafry berkata, Naim dipilih melalui pertimbangan institusi parti serta mendapat sokongan jentera akar umbi.
Selain itu katanya, ia juga membawa nilai kesinambungan perjuangan yang diterjemahkan melalui rekod khidmat kepada masyarakat dan bukannya bersifat simbolik semata-mata.
Sehubungan itu, Jafry menegaskan, PRK Parlimen Kinabatangan bukan sekadar ujian terhadap individu yang bertanding, sebaliknya merupakan penilaian terhadap kestabilan institusi politik.
Katanya, ia juga bakal menunjukkan tahap kepercayaan rakyat serta keupayaan BN untuk mengekalkan mandat pembangunan di kawasan yang disifatkan sebagai strategik dan mencabar.
“UMNO Sabah akan terus berdiri teguh, bersatu dan fokus dalam memastikan suara rakyat Kinabatangan terus terbela secara berprinsip, berwibawa dan berterusan,” katanya.














