UMNO Sabah Siap Siaga Hadapi PRN17: Fokus Kepada Calon Baharu dan Kerjasama PH-BN
- nabalunews
- Oct 13
- 2 min read

13 Oktober 2025
KOTA KINABALU: UMNO Sabah kini berada dalam mode siap siaga penuh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, dengan kekuatan jentera parti dan semangat akar umbi yang kian membara.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO mempunyai kekuatan 6,044 cawangan melibatkan seramai 614,994 ahli.
Katanya, semua kekuatan UMNO di negeri ini telah digerakkan sepenuhnya sebagai persiapan menghadapi PRN17.
“Umno Sabah berada dalam keadaan dalam mood siap siagaan yang penuh semangat 100 peratus untuk berhadapan dengan PRN17 akan datang ini dan kita telah mengarahkan seramai 614,994 ahli UMNO di seluruh Sabah.
“Daripada 600,000 itu, 474,252 orang adalah ahli UMNO yang boleh mengundi dalam pilihan raya dan kita juga akan mengumumkan kerusi-kerusi dan senarai calon satu minggu sebelum penamaan calon diadakan.
“Pada ketika itu juga kita akan melancarkan jentera pilihan raya Barisan Nasional dan kita akan juga melancarkan janji tawaran baru kita iaitu rancangan pembangunan Sabah 1 kepada rakyat negeri Sabah.
“Bermacam-macam tawaran kita buat, tawaran-tawaran baru kepada rakyat negeri Sabah untuk kita memperbetulkan ekonomi dan juga masa depan hidup rakyat negeri Sabah termasuk anak-anak muda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang diadakan di Bangunan UMNO Sabah, di sini, hari ini.
Bung Moktar berkata, UMNO Sabah juga telah melengkapkan semua persiapan termasuk memuktamadkan kerusi dan senarai calon.
“Saya juga ingin memaklumkan hampir 81 peratus adalah calon-calon muka baru dan anak-anak muda untuk Barisan Nasional dalam menghadapi PRN seperti ini, BN Sabah akan kekal bersama-sama dengan rakan kita Pekatan Harapan dalam bertembung dalam pilihan raya untuk mengekalkan kestabilan politik di seluruh negara.
“Dan kita percaya formula seimbang antara kekuatan akar umbi dan idealisme pembaharuan tidak seperti GRS yang seperti hari ini, belumpun masa yang panjang GRS telah berpecah.
“Ini disebabkan oleh krisis keyakinan di antara mereka berkrisis dan yang paling jelas krisis keyakinan rakyat dengan kerajaan GRS sudah hilang sama sekali ini, disebabkan kegagalan GRS mengurus isu-isu Sabah mengurus ekonomi Sabah, mengurus masa depan rakyat Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar berkata, BN dan PH menunjukkan kesepaduan yang semakin kukuh dan UMNO Sabah juga sentiasa menekankan disiplin, mesej jelas dan kesetiaan kepada rakyat.
Katanya, prinsip UMNO dan BN Sabah sangat mudah iaitu sentiasa bersama rakyat, mendengar suara mereka dan memperjuangkan masa depan Sabah yang lebih stabil dan makmur.


















Comments