- nabalunews
UMS adakan bengkel pengenalan asas bahaya ancaman CBRNE
23 Julai 2024
KOTA KINABALU : Program “Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Explosives (CBRNE) Terrorism Awareness and Medical Emergency Consequence Management Workshop 2024”, diadakan buat julung kalinya di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Program ini bertujuan untuk memberikan pengenalan asas kepada pelbagai institusi dan agensi di Sabah mengenai bahaya ancaman CBRNE yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia.
Ia juga bagi memulakan inisiatif kerajaan negeri untuk mengorak langkah bagi mengenal pasti sebarang risiko dan juga ancaman CBRNE yang boleh berlaku di negeri ini, sekali gus mewujudkan pelan bencana yang mampan untuk bersedia menangani ancaman tersebut melalui penglibatan kesemua agensi yang menyertai bengkel tersebut.
Bengkel dikendalikan Jabatan Perubatan Kecemasan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan majlis perasmiannya disempurnakan oleh Ketua Kepakaran Perubatan Kecemasan dan Trauma Negeri Sabah, Dr. Abd. Adzim E Arim Sasi.
Menurut Abd. Adzim, bengkel CBRNE merupakan salah satu platform utama bagi memberikan ilmu pengetahuan, pendedahan dan juga kemahiran asas kepada petugas kesihatan dalam melakukan fasa respons dalam situasi bencana CBRNE.
“Sebagai sebahagian dari kesiapsiagaan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam menangani bencana CBRNE, JKNS telah membuat perancangan awal melalui pelan kontigensi bagi menghadapi ancaman atau bencana CBRNE ini khususnya di Sabah.
“Di samping itu, kakitangan yang dilatih boleh menjadi pelopor kepada pusat latihan CBRNE di rantau ini, khususnya untuk petugas Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meneruskan keberlangsungan latihan kakitangan di negeri Sabah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, pada tahun 2023 sahaja terdapat enam kes CBRNE yang berlaku di Sabah.
“Kes terakhir yang berlaku adalah pada bulan November 2023 di Tawau iaitu kejadian keracunan gas klorin Kolam Udang Pegagau Aquaculture di Kampung Wakuba yang telah melibatkan seramai enam mangsa dan seorang daripadanya terkorban dalam kejadian tersebut.
“Justeru, adalah perlu untuk hospital-hospital dan kesihatan awam di negeri Sabah untuk mendalami ilmu CBRNE ini bagi memberi persediaan kepada kakitangan agar lebih bersedia dengan ancaman alaf baru ini,” tambahnya.
Program dengan kerjasama Jabatan Kecemasan Hospital Queen Elizabeth, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Southeast Asia Regional Centre for Counter Terrorism (SEARCCT) dan Jabatan Bomba Negeri Sabah itu disertai oleh 250 peserta daripada pelbagai agensi di seluruh negeri.
Selain itu, program tersebut turut disokong oleh Jabatan Kimia Negeri Sabah, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Atomic Energy Licensing Board (AELB).
Hadir sama, Timbalan Dekan FPSK, Prof. Madya Dr. Fairrul Kadir; Timbalan Ketua Bomba Negeri Sabah, Farhan Sufyan Borhan; Pengarah Bahagian Perancangan dan Latihan Pencegahan Keganasan (SEARCCT), Superintendan Yong Thian Foh serta Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Maria Suleiman.
Comentarios