UMS Bakal Wujudkan Fakulti Undang-Undang
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

24 November 2025
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menubuhkan fakulti undang-undang selepas permohonan untuk mewujudkan fakulti tersebut dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata keputusan tersebut dilihat sebagai satu langkah strategik yang akan memperluas akses pendidikan undang-undang khususnya kepada rakyat Sabah dan Sarawak.
“Saya telah mengemukakan permohonan agar moratorium dalam bidang undang-undang untuk Universiti dibuka khusus untuk Sabah dan Serawak dan kabinet juga telah bersetuju supaya membenarkan UMS untuk membuka satu lagi fakulti, iaitu Fakulti Undang-undang.

“Ini merupakan keputusan penting yang dapat memberi manfaat secara keseluruhan kepada rakyat Sabah khususnya dalam aspek pembangunan tenaga profesional dalam bidang perundangan.
“Ia juga berita baik untuk rakyat Sabah kerana kita memberi keutamaan kepada kemudahan dan keselesaan rakyat, mereka tidak lagi perlu pergi jauh untuk mendapatkan pendidikan undang-undang bertaraf tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Kolej Kediaman UMS Kampung Numbak, sempena lawatan kerja Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ke UMS, baru-baru ini.
Dalam lawatan tersebut, Zambry turut meninjau dua blok bangunan kediaman pelajar di Kampung Numbak yang telah siap dibina namun terbiar akibat isu teknikal sejak beberapa tahun lalu.
“Ada jurang besar lebih 10,000 tempat. Kita tak mahu pelajar terpaksa duduk di luar, bayar sewa mahal dan menanggung kesukaran hidup.
“Blok baharu ini berpotensi menampung banyak pelajar dan akan memberi impak besar kepada kebajikan mahasiswa.
“Kita mahu pelajar UMS belajar dalam keadaan selesa, mampu tinggal di kampus, dan tidak terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa usaha menyelesaikan isu penginapan tersebut adalah sebahagian daripada agenda besar kerajaan untuk memastikan pelajar Sabah mendapat akses pendidikan yang berkualiti.
Hadir sama dalam lawatan tersebut, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Rossita Shapawi dan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.


















Comments